Elak berulang gerhana 22 bulan di bawah PH

Shahir Adnan
- Advertisement -

BANYAK teori dan kajian memperlihatkan sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru pada mana-mana pilihan raya menyebabkan undi Melayu berpecah. Kesannya pihak ketiga akan muncul mendapat perhatian pengundi. Sejarah yang berlaku pada PRU14 membuktikan hakikat itu. Bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, situasi seperti itu perlu dielakkan. Kebimbangan mengenai situasi tersebut turut dirasai rakan Gagasan Sejahtera, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN). Bagi mendapat pandangan mengenainya ikuti temubual wartawan NUR AIN MANAF bersama Ketua Pemuda IKATAN, Shahir Adnan baru-baru ini.

Harakah: Apa pandangan IKATAN mengenai hubungan dingin antara Umno dan Bersatu yang dilihat tidak mahu bekerjasama dalam PRU15?

Tidak dinafikan, setiap parti mempunyai strategi politik masing-masing. Setiap ahli akar umbi dan pemimpin setiap parti turut mempunyai pandangan masing-masing. Kedua-dua parti juga mempunyai ahli dan pengikut mereka sendiri.

Seeloknya, setiap pemimpin dan ahli menjaga tutur kata masing-masing agar tidak mengeluarkan kenyataan yang menghiris perasaan pihak lain. Untuk bekerjasama, perkara paling penting adalah keikhlasan, dan keikhlasan hanya dapat dicerminkan sekiranya ia dating dari hati yang bersih.

- Advertisement -

Kami di IKATAN lebih fokus kepada membantu rakyat yang terkesan di bawah. Kita jelas bahawa rakyat adalah keutamaan bagi setiap pemimpin yang prihatin.

Oleh sebab itu sepanjang tahun 2020, walaupun negara berdepan kesulitan, IKATAN tetap turun bertemu rakyat dan mendengar denyut nadi mereka di samping menyalurkan pelbagai program bantuan di peringkat akar umbi. Ini lebih penting berbanding fokus perebutan kerusi PRU15.

Mampukah PAS menjadi orang tengah meredakan kemelut antara Umno dan Bersatu. Mungkin ada cadangan IKATAN supaya usaha tersebut menjadi gerakan massa, bukan setakat ‘hangat-hangat tahi ayam?

PAS sebagai parti Melayu kedua terbesar dari segi keahlian selepas Umno. PAS juga sebuah parti yang berpengalaman dan mempunyai kekuatan “grassroot” yang tidak ada pada mana-mana parti lain.

Ini adalah kelebihan PAS. Kekuatan ini bertambah utuh dengan jelasnya hala tuju parti melalui kebijaksanaan pimpinan PAS dalam berhadapan sesuatu perkara yang sememangnya sudah terbukti.

Idea Penyatuan Ummah itu sendiri sememangnya idea hebat yang dicetuskan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Pelaksanaan Penyatuan Ummah diperkasakan oleh Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, seorang tokoh yang disegani kawan dan lawan.

Namun untuk menjayakannya semua parti perlu berpaksikan titik persamaan atau “on the same page” bagi merealisasikan perkara tersebut.

Ikatan percaya PAS sentiasa komited ke arah idea penyatuan ummah tersebut. PAS bersama Umno berjaya melakukan perkara yang hampir mustahil bagi kebanyakan pihak apabila mereka bersama dalam sebuah piagam persefahaman iaitu Muafakat Nasional.

Berbalik kepada soalan, untuk menyelesaikan masalah parti Umno dan Bersatu yang dingin itu sebenarnya bukalah terletak kepada PAS semata mata. Sebaliknya ianya bergantung kepada Umno dan Bersatu itu sendiri.

PAS sebagai pemudahcara merapatkan hubungan kedua parti yang dingin tidak menjadi isu. Seharusnya semua pihak mengucapkan terima kasih di atas usaha PAS dalam menyatukan parti-parti orang melayu.

Bagaimana sekiranya isu itu tidak dapat diselesaikan menjelang PRU15?

Nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat terletak pada tangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Apabila cukup tempohnya PRU akan dijalankan dengan tidak meletakkan keselamatan rakyat dalam bahaya.

Isu parti Umno dan Bersatu bersama atau tidak di dalam PRU akan datang masih terlalu awal untuk diperkatakan.

Semua pihak pastinya sedar akan kesan terhadap setiap keputusan dan aturan strategi mereka untuk menang PRU nanti. Bagi IKATAN, apa yang penting adalah tidak mengulangi kesengsaraan yang dialami oleh rakyat semasa tempoh 22 bulan PH memerintah negara.

Kita tidak mahu isu-isu pentadbiran PH berulang seperti keadaan perpaduan antara kaum yang mula retak, agama diperkotak-katikkan, ekonomi jatuh merudum, penjualan aset-aset kerajaan, dan pentadbiran oleh Menteri-Menteri sijil palsu.

Bagaimana IKATAN melihat percaturan yang dirangka Perikatan Nasional sekarang?

Sebagai sebuah gabungan politik yang memerintah negara pastinya Perikatan Nasional akan memperkukuh gabungan mereka. Ini termasuklah dengan menjalinkan kerjasama dengan parti politik.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri perlu mempekukuhkan kerajaan hari ini demi melicinkan pentadbiran kerajaan. Jangan biarkan pentadbiran kerajaan direncatkan oleh mana-mana individu yang gemar membuat pengumuman bahawa dia mempunyai majoriti yang “strong, formidable, and convincing”, walhal realitinya hanya tin kosong.

Apabila pentadbiran kerajaan terurus baik, maka rakyat mendapat manfaat. Pelabur asing turut yakin untuk dating ke negara kita dan membuat pelaburan. Akhirnya ekonomi negara akan bertambah baik dan peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

Bagaimana IKATAN melihat Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepanjang setahun mentadbir negara?

Tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disebabkan oleh perletakan jawatan Perdana Menteri ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakibatkan seluruh portfolio menteri kabinet secara automatik terlucut.

Fakta ini menunjukkan bahawa Kerajaan PH tumbang sendiri disebabkan pemimpin nombor satu mereka yang tidak mahu mengemudi kerajaan mereka. Parti-parti politik pembangkang ketika itu, bermuafakat untuk menyelamatkan keadaan dan membentuk Kerajaan Perikatan Nasional.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menzahirkan rasa terima kasih kepada Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan hari ini, terutama dari PAS dan Umno selaku parti tunjang yang memikul tanggungjawab politik agar negara tidak terjerumus ke dalam malapetaka politik mainan PH.

Rakyat mesti didahulukan ketika negara berdepan wabak Covid-19. Sejarah mencatatkan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional bermula ketika negara sedang dilanda wabak Covid-19. Cabaran yang dihadapi terlalu besar yang memerlukan kebijaksanaan pemimpin dalam mengurus tadbir negara.

Menteri-menteri Kerajaan PN juga terdiri daripada beberapa parti dan dalam kalangan ahli parlimen yang ada pengalaman di dalam kerajaan sebelum ini. Pelantikan Menteri dalam kalangan profesional harus dipuji.

Dari beberapa sudut kita boleh lihat pencapaian yang cukup membanggakan apabila kerajaan yang ada sekarang berjaya menaikkan harga komiditi seperti sawit dan getah yang sebelum ini gagal dan menyebabkan harga komiditi tersebut menjunam.

Dari segi hubungan luar terutama dengan negara-negara Arab juga dilihat berjaya membaiki hubungan sedia ada. Begitu juga hubungan negara kita dengan negara ASEAN.

Setahun memerintah, kerajaan PN dilihat berjaya sebagai kerajaan rakyat jika dilihat kepada beberapa perkara termasuk bantuan-bantuan kepada rakyat, terutama kepada anak muda yang hilang pekerjaan.

Rakyat faham kepayahan kerajaan berdepan masalah Covid-19 ini, namun beberapa keputusan dan dasar perlu ditambah baik bagi mengelakkan persepsi negatif kepada Kerajaan. Alhamdulillah isu denda RM10,000 telah diteliti dan diuruskan dengan cermat. – HARAKAHDAILY 22/3/2021

- Advertisement -