Tadahan Rahmat bantu penduduk miskin miliki rumah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dicadang memperbanyakkan pembinaan rumah melalui konsep Tadahan Rahmat bagi menangani masalah pemilikan rumah golongan berpendapatan rendah.

Adun Pengkalan Kubor, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, konsep berkenaan wajar diperkenalkan di seluruh Dun di negeri itu.

Katanya, Tadahan Rahmat boleh membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah namun mereka tiada tanah sendiri.

- Advertisement -

“Program rumah Dhuafat yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak lebih 15 tahun lepas mensyaratkan pemohon mempunyai tanah sendiri.

“Kalau tiada lot sendiri, tuan pemilik tanah perlu memberi perakuan secara bertulis untuk membenarkan penerima rumah Dhuafat mendirikan tanah atas tanah milik mereka,” ujarnya di sini.

Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, masih ada tanah-tanah kerajaan negeri di peringkat Dun yang sesuai untuk didirikan kediaman melalui konsep Tadahan Rahmat.

Menurutnya konsep berkenaan dilaksanakan Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) untuk membantu golongan asnaf yang tidak mampu mendirikan rumah sendiri.

“Sekiranya kerajaan memberi tanah kepada rakyat miskin masalah masih belum selesai kerana mereka tidak mampu membina rumah.

“Dengan kaedah Tadahan Rahmat penduduk miskin boleh memiliki rumah sendiri dan membayar secara ansuran bulanan dengan jumlah yang rendah.

“Sebagai contoh kaedah sewa beli antara RM120 hingga RM200, sebulan. Kaedah tersebut selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan Keluarga Mawaddah,” ujarnya.

Kata beliau bagi melahirkan Keluarga Mawaddah, penduduk perlu memiliki kediaman yang agak selesa untuk menampung keperluan keluarga.

Program rumah Dhuafat dilaksanakan di Kelantan lebih 15 tahun lepas bagi membantu penduduk miskin memiliki rumah sendiri.

Rumah tersebut yang dibina dengan kos kira-kira RM40,000 dilaksanakan di seluruh Kelantan. Setiap tahun sekurang-kurang tiga rumah Dhuafat dibina kerajaan negeri di setiap Dun. – HARAKHDAILY 19/3/2021

- Advertisement -