Sah tiada kenaikan bayaran perniagaan di bawah MBK

- Advertisement -

KUANTAN: Kenaikan bayaran permit caj, lesen perniagaan dan sewaan tapak berikutan naik taraf kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang menjadi kebimbangan para peniaga kecil dan penjaja ternyata tidak berlaku.

ADUN Beserah, Andansura Rabu memberi pengesahan tersebut setelah mengadakan pertemuan dengan Setiausaha MBK, Dato’ Hamiza Hamzah dan Ketua Bahagian Perlesenan MBK, Izad Zainal Muhammad Safian.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang mengambil inisiatif tersebut sebagai memanjangkan keluhan para peniaga kecil dan penjaja bagi memastikan kesahihan dakwaan tersebut.

- Advertisement -

“Apa yang nyata, setelah pertemuan diadakan bersama pihak MBK, tiada sebarang kenaikan atau perubahan cara dan kaedah berbanding Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang lalu.

“Tiada perbincangan dibuat (oleh MBK) dan tiada cadangan untuk mengubah struktur bayaran caj permit atau lesen perniagaan yang dikeluarkan sebelum ini. Malah, MBK masih meneruskan apa yang dibuat MPK sebelum ini.

“Penjaja dan peniaga hendaklah memohon lesen untuk berniaga di tempat yang difikirkan sesuai selagi tidak mengganggu lalu lintas dan keselamatan orang ramai serta menjaga kebersihan,” ujarnya.

Telah menjadi kebiasaan pendekatan Andansura untuk setiap keluhan atau aduan seumpama itu dipanjangkan sendiri dengan mengadakan pertemuan bersama pihak berkenaan bagi mendapat penjelasan.

Katanya, setiap isu yang dibangkitkan perlu diselesaikan segera bagi mewujudkan kesejahteraan kepada pihak berkenaan dan agar sesuatu tindakan itu memajukan sama kehidupan warga. – HARAKAHDAILY 19/3/2021

- Advertisement -