RAUB: Dua beradik yang menjadi yatim piatu setelah ibu bapa mereka terbunuh dalam satu kemalangan maut Jumaat lalu telah menerima kunjungan ziarah pimpinan Pemuda PAS, kelmarin dahulu.
Muhammad Haiqal Muhamad Fadzli, 21 dan adiknya, Muhammad Iqhfal Muhamad Fadzli, 8 telah dikunjungi rombongan dipimpin Ketua Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin di Kampung Jeruas Sega, di sini.
Dalam pertemuan tersebut, pihak Pemuda PAS telah menyampaikan sumbangan dan memberikan kata-kata semangat agar Haiqal dan Iqhfal terus tabah menghadapi dugaan hidup mereka atas kehilangan itu.
Terdahulu kedua beradik ini turut mendapat simpati Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencemar duli menziarahi mereka.
Tragedi dalam hujan itu berlaku setelah kereta dipandu Allahyarham Fadzli yang merupakan pesara Tentera Udara Diraja Malaysia bertembung dengan sebuah pacuan empat roda membunuh empat sekeluarga.
Ahli keluarga yang lain adalah isterinya, Nur Asyitah Abu Samah, 44 dan dua anak mereka, Muhammad Iqmal, 13 dan Irina Nur Qhalesya, 7, ketika mereka dalam perjalanan ke klinik haiwan merawat kucing peliharaan.
Haiqal dan Iqhfal yang turut diajak sama bagaimanapun memilih mahu berehat di rumah kerana keletihan dan sememangnya perkhabaran itu sangat mengejutkan dua beradik anak sulung dan ketiga itu.
Hadir sama pada ziarah itu adalah Exco Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Roslan Md Esa dan Ustaz Kamal Ashari serta Ketua Pemuda dan Ketua Muslimat PAS Kawasan Raub, Ustaz Mohd Shahrizan Md Esa dan Habidah Salleh. – HARAKAHDAILY 19/3/2021