PEMERKASA: Bukti kerajaan PN prihatin rakyat

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuktikan komitmen luar biasa sepanjang setahun memimpin negara dengan memberi fokus kepada kebajikan rakyat dan usaha pemulihan ekonomi secara berterusan.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, langkah kerajaan memperkenalkan formula ekonomi terbaru iaitu Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) memberi kelegaan kepada banyak pihak yang terjejas.

Ujarnya, beliau menaruh harapan tinggi agar program ini dapat dilaksanakan secepat mungkin oleh agensi kerajaan berkaitan dengan lancar dan tepat kepada sasarannya agar dapat dirasai oleh rakyat dengan segera.

- Advertisement -

“Pengumuman ini juga membuktikan bahawa kerajaan PN mengutamakan kepentingan rakyat bagi membantu rakyat keluar daripada belenggu ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“UMMAH menyeru rakyat agar segera memanfaatkan segala peluang yang telah diumumkan oleh kerajaan dengan sebaiknya, bagi mengukuhkan ekonomi masing-masing dan seterusnya ini akan membantu mengukuhkan ekonomi negara,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Pihaknya turut menzahirkan rasa gembira di atas langkah kerajaan dengan melancarkan program yang melibatkan golongan bersasar ini secara menyeluruh.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan PEMERKASA yang menetapkan lima fokus utama iaitu mengawal penularan Covid-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, memastikan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat serta mentransformasi ekonomi. – HARAKAHDAILY 19/3/2021

- Advertisement -