Keterangan mengenai vaksin COVID-19 AstraZeneca

- Advertisement -

BEBERAPA buah negara lain telah memberhentikan sementara waktu vaksin COVID-19 jenama AstraZeneca kerana terdapat kejadian luar biasa yang berkaitan dengan pembekuan darah ke atas penerima vaksin.

European Medicines Agency (EMA) mengeluarkan kenyataan bahawa: 

(1) Manfaat mengambil Vaksin AstraZeneca mengatasi mudarat yang sedikit.
(2) Kematian akibat pembekuan darah selepas pemberian vaksin tidak boleh dikaitkan secara terus akibat dari vaksin AstraZeneca.
(3) Vaksin AstraZeneca adalah selamat dan berkesan. Telah pun diberi kepada jutaan manusia seluruh dunia.
(4) 30 kes dari 5 juta orang yang telah diberi vaksin berlaku pembekuan darah (Insiden: 0.006/1000). Dibandingkan dalam populasi di Eropah kes pembekuan darah berlaku setiap bulan melebihi 3000 kes (Insiden 1:1000).
(5) Vaksin berkesan untuk mencegah COVID-19. Di mana antara punca kematian akibat dijangkiti oleh COVID-19 adalah berlakunya pembekuan darah.
(6) Analisa dari rekod pemberian vaksin kepada 10 juta individu mendapati tidak ada pun bukti yang menyebabkan meningkatnya risiko pembekuan darah seperti Pulmonary Embolism atau Deep Vein Thrombosis.

- Advertisement -

Paul Ehrlich Institute (PEI) dari Jerman dan CDC juga mengeluarkan kenyataan yang sama bahawa vaksin AstraZeneca selamat digunakan. Beberapa buah negara seperti Jerman, Perancis dan lain-lain sebelum ini menangguhkan sementara pemberian vaksin AstraZeneca, telah pun meluluskan semula program imunisasi mereka.

Secara umumnya kerajaan telah mengambil satu sikap yang berhati-hati sebelum mengambil apa-apa jua tindakan dalam proses Imunisasi Kebangsaan yang sedang jalankan ini. Apa sahaja vaksin akan masuk dalam negara kita akan dinilai secara teliti oleh National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA).

Semoga masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita sensasi yang cuba dibawa oleh beberapa golongan yang sememangnya lantang sebelum ini menentang program Imunisasi Kebangsaan yang sedang dijalankan dalam negara kita. Dapatkan maklumat dari sumber yang sahih.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 19/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -