Kalimah Allah: Junjung kasih titah Sultan Johor

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menjunjung kasih akan Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan Johor Darul Ta’zim. Firman Allah Taala melalui surah al-Ikhlas ayat 1-4:

- Advertisement -

(بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِیمِ)
 قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ۝  ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ۝  لَمۡ یَلِدۡ وَلَمۡ یُولَدۡ ۝  وَلَمۡ یَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ

“Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.

Isu kalimah Allah merupakan isu yang sangat menyentuh sensitiviti dan melahirkan perasaan dukacita terhadap seluruh umat Islam di negara ini. Justeru, Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim iaitu ‘Menyeru Kerajaan Perseketuan untuk meneruskan rayuan dalam prosiding isu kalimah Allah ini’ adalah sangat wajar dan tepat. 

Kami amat menghargai pendirian dan kesungguhan Tuanku Sultan memainkan peranan yang penuh untuk memartabatkan keagungan Islam. Sebagai salah sebuah entiti kerajaan pada hari ini, Pemuda PAS Johor konsisten untuk memperjuang dan memastikan agar kalimah Allah terus terpelihara dari sudut zahir dan maknanya kerana ia adalah kalimah yang suci di sisi Islam.

Kami turut berpandangan bahawa pihak Kerajaan Persekutuan perlu menzahirkan sikap prihatin terhadap isu ini demi meraih keyakinan rakyat yang majoritinya beragama Islam bahawa Kerajaan Perikatan Nasional merupakan sebuah kerajaan yang menjunjung Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi negara, tanpa mengabaikan Perkara 11 yang menjamin keharmonian penganut agama yang lain. Kepada seluruh umat Islam dari segenap pelosok dan rakyat, ayuhlah bersama kami dan bersatu dalam menghadapi perjuangan ini.

USTAZ AHMAD NAWFAL MAHFODZ
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor – DPPNJ
Pemuda Perikatan Nasional Johor
19 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 19/3/2021

- Advertisement -