‘Oil & Gas’: Jalan jihad Fardu Kifayah saya!

- Advertisement -

KNOWLEDGE is power. Itulah prinsip saya. Nak kuasai dunia seseorang itu mestilah dengan ilmu, bukan dengan semangat yang berkobar semata-mata dan bukan dengan kekuatan fizikal semata-mata. Imam Hassan al-Banna ketika menggerakkan Ikhwan al-Muslimin beliau telah memperkenalkan Rukun Baiah yang menjadi asas kepada perjuangan Ikhwan pada ketika itu dan rukun yang pertama bagi Rukun Baiah ini adalah al-Fahmu (Kefahaman Islam). Uniknya, bagi memahami Rukun al-Fahmu ini terdapat 20 Usul (prinsip) yang mesti dipelajari agar rukun yang pertama ini dapat dikuasai.

Inilah gambaran kepada kepentingan ilmu di dalam perjuangan Islam. Ia menjadi asas dan panduan kepada hala tuju perjuangan. Setiap permasalahan yang timbul di sepanjang perjuangan ini akan dikembalikan kepada perbahasan ilmu Islam. Mereka yang berjuang dengan taqlid buta semata-mata akan cenderung untuk lelah di medan juang dan berkemungkinan untuk tercicir daripada perjuangan ini.

- Advertisement -

Begitulah prinsip asas gerakan Islam. Gerakan Islam melalui acuan Tarbiah Islamiah Harakiah menyusun setiap anggotanya dengan pendidikan ilmu secara tersusun bagi setiap marhalahnya. PAS sebagai sebuah Gerakan Islam di Malaysia percaya bahawa gerakan tajdid dan Islah mestilah dilakukan melalui mendidik ahli anggotanya dengan ilmu-ilmu Islam, mengeluarkan mereka daripada lembah kejahilan dan membangun masyarakat Islam yang bertamadun.

Menurut Imam al-Ghazali, ilmu terbahagi kepada dua keadaan. Pertama, Fardu Ain dan yang kedua, Fardu Kifayah. Fardu Ain ialah ilmu yang diwajibkan ke atas seluruh umat Islam. Asasnya adalah berlandaskan kepada 5 Rukun Islam. Kelima-lima rukun ini menjadi kewajipan ke atas semua umat Islam untuk mempelajarinya.

Ilmu Fardu kifayah pula ialah ilmu yang diwajibkan ke atas sebahagian umat Islam. Sekiranya tidak ada dalam kalangan umat Islam yang mempelajari ilmu ini maka berdosalah keseluruhan umat Islam. Di antara bentuk-bentuk ilmu Fardu Kifayah ialah ilmu sains, falsafah, sejarah, matematik, sains sosial, geografi, astronomi, bioteknologi, teknologi maklumat dan lain-lain.

Inilah medan juang yang saya dedikasikan hidup saya. Saya tidak berpeluang untuk hafal al-Quran dan mempelajari ilmu Usul Fiqh secara mendalam seperti anak-anak saya, tetapi alhamdulillah saya berkesempatan untuk menceburi bidang ‘Oil & Gas’ sejak daripada zaman saya di universiti. Saya berazam untuk memberikan sumbangan kepada Islam melalui jalan ini dan saya mahu pergi sehingga ke peringkat global.

Saya mahu membuka minda masyarakat dunia bahawa Islam adalah umat yang terpelajar, terdidik, mengangkat martabat ilmu dan mampu membangun sebuah tamadun. Maka, saya dedikasikan hidup saya sepenuhnya di jalan ini. 

Saya juga ingin buktikan bahawa ahli-ahli PAS yang ditarbiah adalah mereka yang bukan sekadar boleh melaungkan slogan Islam di pentas-pentas pidato, tetapi mereka adalah ahli PAS yang mampu membawa aspirasi Islam, memahami Ilmu sains serta mahir di dalam selok belok sistem pentadbiran negara.

Perjuangan ini mungkin penuh dengan gelombang ombak yang bergelora, namun dengan beristiqamah berada di dalam gerakan Islam, PAS, saya mendapat kekuatan untuk terus bersabar di atas perjuangan ini bersama-sama rakan saya yang lain. Semoga Allah menerima usaha kami yang kecil ini. 

“Demi Islam”

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 19/3/2021

- Advertisement -