Membantu golongan asnaf termasuk jihad di jalan Allah

- Advertisement -

PAYA BESAR: Membantu golongan yang memerlukan terutama kalangan asnaf merupakan antara usaha dakwah yang menjadi jihad sangat dituntut amalannya oleh Baginda Rasulullah S.A.W.

ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya mengingatkan demikian ketika menyantuni penduduk miskin, orang kelainan upaya (OKU), sakit, warga emas, armalah dan anak yatim atau singkatannya MOSWAY, kelmarin.

- Advertisement -

Program ini telah dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Panching dengan kerjasama PAS Cawangan RRM Permatang Badak di Surau Al-Wahidah PAKR Permatang Badak, di sini.

Beliau mengupas hadis yang sering dinasihatkan Rasulullah kepada para Sahabat R.A mengenai tiga amalan sangat disukai Allah dilakukan hamba-Nya iaitu solat pada waktunya, berbuat baik kepada ibu bapa dan jihad di jalan Allah.

Jelasnya, solat di awal waktu menjadi cabaran umat akhir zaman atas pelbagai kesibukan urusan, namun Nabi S.A.W telah peringatkan bahawa solat di awal waktu adalah pengampunan, tetapi di akhir waktu adalah redha dari Allah.

Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang ini juga mengingatkan mengenai ungkapan kehinaan sebanyak tiga kali diucapkan ke atas mereka yang punyai ibu bapa tetapi tidak menjadi asbabnya ke syurga.

Kerana jelasnya, murka dan redha Allah terletak pada murka dan redha ibu bapa di mana seandainya ibu bapa telah tiada, maka Nabi menyuruh agar berbuat baik kepada kawan-kawan ibu bapa.

Manakala jihad di jalan Allah katanya, termasuk sebagaimana program tersebut di mana keterlibatan seperti itu perlu diseru kepada lebih ramai lagi dan pastinya beroleh pahala berganda-ganda.

Hadir sama adalah Ketua Kampung, Nadzar Sentul dan Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Paya Besar, Sabariah Muda serta Ahli-ahli Jawatankuasa Kesejahteraan dan Keselamatan Kampung.

Terdahulu, program dimulai dengan bacaan Yaasiin dipimpin Ketua Munajat DUN Panching, Ustazah Hapidzah Samsudin dan Munajat AKIFI dipimpin Ketua Ameerah Paya Besar, Ustazah Siti Hajar Hassan Basri. – HARAKAHDAILY 18/3/2021

- Advertisement -