JPKK disertai wakil PAS, Umno, Bersatu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Penghulu Negeri Kelantan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan negeri bagi memperkasakan institusi penghulu di negeri itu.

Antaranya mengadakan kursus pemantapan kepimpinan, motivasi dan sebagainya yang melibatkan seramai 824 penghulu mukim di setiap jajahan.

Penolong Pengarah Urusetia Majlis Penghulu Negeri Kelantan, Hamdan Ismail berkata, usaha itu perlu dilakukan memandangkan kerajaan Pusat mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di setiap negeri.

Katanya, JPKK dilahirkan bagi menggantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang diwujudkan era kerajaan Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -
Hamdan Ismail

“Penubuhan JPKK di bawah Perikatan Nasional (PN) memberi cabaran kepada penghulu kerana keahlian jawatankuasa tersebut turut melibatkan wakil daripada Umno dan Bersatu.

“Sekarang JPKK ahlinya melibatkan wakil dari pelbagai parti. Jadi untuk mengurus jawatankuasa itu bukan mudah kerana perbezaan pola pemikiran dan latarbelakang,” katanya pada program bicara di laman sosial Kelantan TV, semalam.

Siri kupasan buku secara atas talian itu membincangkan tajuk ‘Penghulu Kelantan: Penglibatan Segenap Arah’ dihoskan pegawai Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan Suhaizi Abdul Kadir.

MPKK yang diwujudkan kerajaan PH pada peringkat awal berjalan lancar di mana ada MPKK mendapat dana bagi melaksanakan aktiviti.

Bagaimanapun selepas setahun MPKK diwujudkan di Kelantan, kerajaan Pusat mewujudkan pula MPKK Persekutuan dengan mengenepikan jawatankuasa komuniti sedia ada.

Bagaimanapun MPKK Persekutuan yang diwujudkan di negeri-negeri diterajui pembangkang akhirnya terbubar selepas kerajaan PH jatuh akibat krisis dalaman. – HARAKAHDAILY 18/3/2021

- Advertisement -