Kekang usaha gerakan terancang cabar kesyumulan Islam

- Advertisement -

PAS KEDAH menyokong penuh kenyataan YB Ustaz Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengenai cadangan penggubalan Akta Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan-Islam dalam usaha memperkasakan bidang kuasa Undang-undang Syariah mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai ‘buaya yang sudah memakan umpan’ adalah perumpamaan sinis akan gerakan terancang pihak-pihak tertentu yang sentiasa berusaha meletakkan Islam hanyalah sekadar ritual agama sahaja, bukan cara hidup yang syumul dan lengkap.

Serangan terhadap pemikiran berlandaskan akal berlapikkan nafsu ini dicetuskan oleh golongan yang bertopengkan NGO, badan bertindak dan gerakan tertentu dengan dana dan sokongan daripada dunia luar. Tanpa perlu bersuluh, sudah tentu ianya didalangi oleh barisan individu pejuang isme-isme ciptaan manusia seperti Sekularisme, Liberalsme, Pluralisme, Humanisme tidak terkecuali Komunisme.

- Advertisement -

Sehubungan itu, PAS Kedah sentiasa bertegas dengan perjuangannya dalam meletakkan Islam di landasan yang sebenar dan mengingatkan golongan ini akan Firman Allah S.W.T:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمْ الْإِسْلَامَ دِينًا

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi Agama untuk kamu.”

(Al-Maidah: 3)

PAS Kedah mengakui adanya ruang dan peluang untuk gerakan golongan ini mencelah bagi mencapai perjuangan mereka baik menerusi pendidikan, politik demokrasi, perundangan dan pemerintahan kerajaan yang diperalatkan. Tambahan pula suhu politik terkini dicemari dengan suasana kacau bilau menyebabkan suntikan jarum dakyah golongan ini lebih mudah disuntik.

Justeru, PAS Kedah menyeru perpaduan, kesatuan dan memperbaiki kekurangan yang ada dalam parti politik, organisasi Islam, badan dakwah dan individu Muslim kerana melalui tangan kitalah yang dapat menyelamat serta membentengi umat Islam daripada terpengaruh dengan ideologi-ideologi tersebut dan senantiasa dikurniakan petunjuk dan hidayah Allah S.W.T:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.” 

 “اسلام  ممڤركوكوه  ڤرڤادوان” 

YB USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT
Ketua Penerangan PAS Kedah 
4 Syaaban 1442H | 18 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 18/3/2021

- Advertisement -