Isteri, rumah, jiran dan kenderaan

4 kunci bahagia

- Advertisement -

HARI ini rasa nak tulis pasal kehidupan sikit. Hadis Nabi S.A.W:

- Advertisement -

أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الهنيء 

“Empat perkara yang mendatangkan kebahagiaan: Isteri solehah, rumah luas, kejiranan baik, kenderaan selesa.”

[Hadis Riwayat Ahmad]

Nabi bukan sahaja menyebut empat item yang menjadi keperluan manusia, bahkan menyebut ciri bagi empat item tersebut. Manusia biasanya memiliki wajaran tersendiri dalam memilih item terbabit. Contohnya dalam bab memilih isteri. Ada yang meletakkan kecantikan sebagai wajaran utama. Dalam bab memilih kenderaan, ada yang mengutamakan prestasi dan kelajuan. Tetapi Nabi S.A.W mengajar kita untuk memilih wajaran yang betul untuk mencapai kebahagiaan. Mari kita lihat satu persatu:

Isteri baik

Nabi S.A.W dah ajar kita tips memilih isteri menerusi sabdanya:

تُنْكَحُ المَرْأَةُ لأرْبَعٍ: لِمالِها ولِحَسَبِها وجَمالِها ولِدِينِها، فاظْفَرْ بذاتِ الدِّينِ، تَرِبَتْ يَداكَ

“Dinikahi wanita kerana 4 perkara: Harta, keturunan, rupa, agama. Carilah yang memiliki agama, nescaya kamu akan bahagia.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Letakkan memiliki agama sebagai wajaran utama. Tidak semestinya kena cari ustazah. Cukup untuk cari yang faham tanggungjawab isteri terhadap suami dan keluarga. Bersedia untuk belajar meningkatkan pengetahuan agama dari semasa ke semasa. Berakhlak mulia. Tahu agama sahaja tidak cukup. Ramai yang agama bagus tapi akhlak buruk. Pemarah, pengotor, buat maksiat dan seumpamanya.

Sebab itu Nabi S.A.W sebut dua perkara dalam memilih suami:

وقال النبي ﷺ: إذا خطب إليكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه؛ إلا تفعلوا تكن فتنة في الأرض، وفساد عريض

“Jika kamu suka akan agama dan akhlak seorang lelaki yang meminangmu maka nikahilah dia. Jika tidak, akan menjadi fitnah di dunia dan kerosakan besar.”

[Hadis Riwayat Tirmizi]

Walaupun ditujukan kepada suami, namun juga terpakai kepada isteri. Agama dan akhlak inilah yang memberi maksud soleh dalam Hadis kebahagiaan di atas.

Rumah luas

Dalam memilih rumah, berbagai kriteria juga dititikberatkan manusia. Antaranya fasiliti, kemudahan, kejiranan, lokasi dan sebagainya. Namun wajaran utama yang Nabi nyatakan adalah luas.

Luas tidak semestinya bangunan rumah. Kerana bilik-bilik Nabi S.A.W kecil sahaja. Ada riwayat mengatakan bila Nabi S.A.W solat malam, kena kaki Aisyah yang sedang tidur. Apa yang difahami daripada rumah luas ialah kawasan tanah. Boleh juga dianggap sebagai halaman rumah.

Dari sudut rekabentuk, ciri penting adalah memiliki ruang privasi untuk ahli keluarga. Nabi S.A.W memisahkan setiap bilik untuk setiap isterinya. Jika digabungkan semua bilik itu, boleh tahan juga luas keseluruhan.

Satu perkara perlu dititikberatkan bagi yang berpoligami adalah supaya kesemua madu hidup berjiran. Tidak semestinya hidup serumah, tetapi mesti berdekatan. Tujuan supaya para madu menjadi rapat. Juga supaya anak-anak tidak terpisah dari ayahnya bila giliran tidur di rumah ibu tirinya.

Kejiranan baik

Selain keluasan, kejiranan juga adalah wajaran yang perlu diambilkira. Silap pilih jiran, masalah remeh temeh akan mengganggu hidup. Islam memperbahaskan banyak perihal hak dan tanggungjawab berjiran. Selepas keluarga, jiranlah yang paling berhak untuk diambil berat.

Membina kejiranan baik perlu berlaku secara multi hala. Mulakan dengan diri sendiri dahulu. Ajar diri untuk berkongsi rezeki. Sekali sekala hantar karipap atau cekodok. Beri duit pada anak-anak mereka.

Cara paling baik untuk bergaul adalah dari masjid surau. Disiplinkan diri untuk hadir sekerap mungkin. Bina hubungan lepas solat. Dari situ, boleh membawa kepada aktiviti luar seperti berbasikal, hari keluarga gotong-royong, rondaan dan sebagainya. Orang ke masjid surau insya-Allah orang baik. Orang soleh seperti dalam hadis di atas.

Kenderaan selesa

Memilih kenderaan juga ada beberapa parameter. Jimat minyak, selesa, kelajuan, praktikaliti, tahan lasak dan seumpamanya. Nabi S.A.W ajar kita pilih keselesaan. Selesa tidak semestinya mahal. Walaupun keselesaan biasanya dikaitkan dengan segmen D yang bersifat mewah, tetapi ada sahaja yang selesa tetapi tidak mewah.

Keselesaan setiap manusia berbeza. Ada yang selesa dari sudut posisi pemanduan. Ada yang ambil kira materialseat, rekabentuk dalaman, keselesaan penumpang, handling, bunyi, suspension dan sebagainya. Tetapi yang Nabi sebut adalah selesa, bukan laju, bukan mewah, bukan lasak.

Pengalaman saya dengan beberapa orang kawan, ramai mengambil kira aspek kelajuan, jenama dan trend. Sampai sanggup mengorbankan aspek keselesaan. Akhirnya tidak dapat capai kebahagiaan, tukar kereta yang lebih minimalis tetapi selesa. 

Daripada keempat perkara ini, ada 3 sudut yang boleh diambil perhatian juga:

1. Turutan empat perkara ini adalah susunan prioriti. Dalam membina kehidupan bahagia, mulakan dengan mencari isteri. Kemudian cari rumah, sewa pun tak apa. Akhir baru fikir kenderaan.

Bukannya salah untuk memiliki kenderaan atau rumah dahulu sebelum kahwin. Tapi jangan sampai meletakkan syarat sebelum kahwin perlu ada rumah atau kereta dahulu. Saya sendiri kahwin tanpa ada rumah, kenderaan atau kerjaya pun!

2. Kalau kita ada wajaran sendiri (passion) dalam empat perkara seperti nak kondo atas shopping complex, nak isteri model, nak motor sport, tak ada masalah. Tapi setidaknya pastikan kita memiliki empat perkara dengan ciri-ciri yang Nabi S.A.W sebutkan dahulu. Yang lain tambah kemudian, dan jangan sesekali tukar!

Ini kerana wajaran lain itu ada komplikasi tersendiri dari sudut maintenance dan sebagainya. Kalau kita hadap masalah dengannya, boleh lepaskan tanpa kehilangan empat perkara yang Nabi sebutkan itu.

Contoh bila faham kondo ini agak tak selesa dari sudut kejiranan, pembesaran anak-anak atau dah tak mampu nak tanggung maintenance, boleh jual atau sewakan. Kita balik duduk rumah pertama yang luas dulu.

3. Kerajaan juga perlu mengambil cakna dalam memenuhi empat perkara ini. Kebahagiaan seseorang adalah kunci kesejahteraan rakyat. Isteri solehah dan kejiranan soleh boleh dibentuk dengan modul pembinaan insan yang komprehensif. Contohnya modul UMI oleh Kerajaan Kelantan atau modul Itqan Insani oleh Kerajaan Terengganu.

Rumah luas boleh dibangunkan dengan menerapkan elemen tersebut dalam rekabentuk rumah kerajaan seperti model rumah RAHMAN dan model Bandar Baru Lestari oleh Kerajaan Terengganu. 

Kenderaan selesa pula boleh dibantu kerajaan dengan memberi subsidi atau pelepasan cukai tertentu kepada pemilik kenderaan pertama pada kereta-kereta tertentu.

Banyak sebenarnya Hadis Nabi berkait kehidupan yang boleh diulas. Cakap politik dan benda-benda serius sokmo ini penat juga kan.

ALANG IBN SHUKRIMUN
5 Syaaban 1442
18 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 18/3/2021

- Advertisement -