Tidak pernah tawar rumah kepada warga Myanmar

- Advertisement -

PADA paragraf pertama, berita ini yang bersumber daripada kenyataan Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff telah menyatakan bahawa:

Persatuan Pengguna Kedah (Cake) akan membuat bantahan sekiranya kerajaan negeri menawarkan rumah di dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sedang dalam pembinaan kepada warga Myanmar yang tinggal di Bukit Malut, Langkawi.

- Advertisement -

Pada paragraf ketiga, Mohamad Yusrizal dipetik sebagai berkata, ‘Kerajaan negeri tidak sepatutnya menawarkan rumah PPR yang mempunyai sebanyak 1,000 unit bernilai kira-kira RM247 juta itu kepada warga Myanmar berkenaan.’

Perlu dijelaskan bahawa Kerajaan Negeri Kedah, sama ada Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md. Nor mahupun mana-mana wakil sah Kerajaan Negeri sama ada di peringkat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) ataupun pegawai-pegawai kerajaan tidak pernah membuat kenyataan yang menjurus kepada maksud menawarkan rumah PPR kepada warga Myanmar yang menduduki kawasan Bukit Malut, Langkawi sebagaimana yang disebut dalam berita berkenaan.

Perlu juga dijelaskan bahawa Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebenarnya adalah bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), bukan Kerajaan Negeri.

Penglibatan Kerajaan Negeri, khususnya Bahagian Perumahan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dalam urusan ini adalah sangat terhad iaitu menerima permohonan daripada rakyat Negeri Kedah yang layak, khususnya anak jati Langkawi dan kemudian menyerahkan kepada KPKT untuk proses penapisan dan diberikan kelulusan.

YAB Menteri Besar dalam wawancara siaran langsung Langkawi FM pada 15 Mac 2021 telah menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan mengusulkan kepada KPKT untuk memastikan hanya anak jati Langkawi diberikan kelulusan untuk menduduki PPR Hulu Melaka dan Kuah.

Agak mencurigakan bagaimana dalam situasi yang seperti ini, iaitu YAB Menteri Besar, anggota MMK mahupun pegawai-pegawai kerajaan tidak pernah membuat kenyataan yang menjurus kepada maksud seperti yang dinyatakan dalam berita itu selain Kerajaan Negeri bukanlah pihak yang berkuasa dalam urusan PPR, kenyataan seperti ini boleh dikeluarkan oleh pihak Cake.

Adalah diharapkan untuk Cake sebagai pertubuhan yang berpengaruh dalam komuniti pengguna di negeri ini mengelak daripada membuat kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat serta menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan dengan bersandar pada andaian yang sama sekali tidak berasas.

Kerajaan Negeri sentiasa mendukung hasrat untuk meningkatkan keharmonian dengan semua pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan demi maslahat rakyat Negeri Kedah.

Dikeluarkan oleh:

PEJABAT MENTERI BESAR KEDAH WISMA DARUL AMAN
Alor Setar
17 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 17/3/2021

- Advertisement -