Utilitarianisme: Bagaimana Barat mengurus musuhnya

- Advertisement -

RAND Corporation merupakan salah satu badan strategis AS yang sangat berpengaruh. Antara bentuk kajiannya adalah meneliti karakter-karakter kelompok manusia yang berlatarkan pelbagai ideologi, termasuk kumpulan-kumpulan Islam.

Beri apa yang diidamkan

Antara rumusan yang menarik dan penting dari jurnalis kelahiran Cuba bernama Alex Abella berkenaan cara fikir Rand Corporation adalah, mereka menilai bahawa tujuan semua manusia sama sahaja. Tidak kira apa jua agama yang dianut, Patriotisme yang didukung atau semangat kebersamaan yang dilaung-laungkan, sebenarnya masing-masing hanya mahu mendapatkan kepentingan yang menguntungkan diri masing-masing sahaja. Tidak lebih dari itu.

- Advertisement -

Sementara janji, laungan dan kempen yang diangkat hanya sebagai alat untuk mendapatkan tujuan-tujuan peribadi tersebut. Maka di sinilah titik penting, bagaimana Barat mengaplikasikan Utilitarianisme dalam memanipulasi dan memerangkap pesaing-pesaing mereka, termasuklah dari kumpulan-kumpulan Islam.

Ketika Perang Dingin berlangsung umpamanya, kita boleh melihat kumpulan-kumpulan Islam dipergunakan untuk mewakili kepentingan AS dalam berhadapan dengan Soviet. Bantuan, sokongan dan dorongan diberikan lalu disogok dengan perasaan seakan-akan ia adalah kemenangan Islam. Setelah dipergunakan, mereka dihancurkan.

Perkara yang sama boleh kita fahami dalam peringatan berkenaan Aids Haraki karangan Ustaz Fathi Yakan. Begitu juga ketika membaca sejarah perisikan dari negara jiran, Ali Moertopo menyatakan bahawa kumpulan dan tokoh-tokoh Islam akan senyap setelah diberikan laba-laba politik dan projek-projek yang menguntungkan mereka. Semudah itu kumpulan Islam dapat dijinakkan.

Dihina

Barangkali kita boleh melaungkan slogan-slogan Islam yang kedengaran cukup gagah perkasa. Namun bagi musuh yang mengkaji akan karakter umat Islam dalam tempoh masa yang panjang, mereka memandang laungan itu hanyalah berselindungkan keinginan dunia.

Menyedari akan hal tersebut, ingatan terhadap pesanan Nabi terus menerpa ke dalam minda. Nabi berpesan bahawa penyakit gilakan dunia menyebabkan umat Islam kehilangan wibawa. 

Sebahagian besar faktor mengapa musuh berani melemparkan penghinaan demi penghinaan, adalah kerana mereka melihat orang Islam dan pejuangnya mudah dijual beli seterusnya didiamkan. Malangnya dari tabiat yang menghinakan itu, imej Islam pula yang menjadi mangsa lalu dijadikan bahan sendaan.

Peringatan Nabi

Rumusan dari Rand Corporation itu tidak jauh berbeza dengan peringatan Hadis Nabi berkenaan situasi hari ini. Umat Islam berbangga dengan kuantiti yang ramai tetapi rapuh jiwanya, lalu Allah menarik kegerunan musuh terhadap mereka:

وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ

Allah akan menghilangkan rasa gerun dari hati musuh kamu terhadap kamu dan Dia akan menimpakan ke atas kalian penyakit al-Wahn.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Nabi menyimpulkan faktor utama orang Islam dan gerakannya dihina adalah kerana ditimpa penyakit al-Wahn. Iaitu cintakan dunia hingga prinsipnya boleh dijual beli dan terlalu inginkan kehidupan yang senang dengan jalan singkat. Sedangkan antara kelebihan Nabi adalah:

نُصِرْتُ بالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ

“Aku dibantu dengan rasa gerun (yang merasuk hati-hati musuh) sejauh jarak perjalanan sebulan.”


(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Cuba kita nilai secara jujur, adakah umat Islam dan gerakannya hari ini benar-benar dihormati dan digeruni, atau ia hanya dijadikan sebagai bahan sendaan sahaja? Ternyata kewibawaan adalah perkara yang sangat penting untuk menggalas tanggungjawab agama.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 17/3/2021

- Advertisement -