RUU sekat pengembangan agama sedia dibincang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sudah sedia dibincangkan di setiap negeri tidak lama lagi.

Perkara itu diputuskan sempena Persidangan Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Bil. 159 pada 9 hingga 11 Mac lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, RUU berkenaan sudah siap untuk dibawa ke negeri-negeri akan disusun mulai bulan ini.

Beliau bagaimanapun tidak dapat menyatakan dengan tepat negeri mana yang dipilih lebih awal memandangkan persidangan berkenaan baru berakhir beberapa hari lalu.

- Advertisement -

“Hanya empat negeri belum ada enakmen menghalang pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam yang sudah termaktub dalam Perlembagaan cuma perlu dibuat enakmen di peringkat negeri-negeri,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 30 penerima menerusi sumbangan Qaseh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang di Kedai Buloh dekat sini hari ini.

Pada program itu setiap penerima menerima wang tunai sebanyak RM500.
Sumbangan wang tunai itu diberi kepada nelayan, pekebun, petani dan penduduk terpilih yang terjejas akibat musim tengkujuh dan Covid-19.

Ia bertujuan untuk mengurangkan bebanan ekonomi yang ditanggung mereka.

Ahmad Marzuk juga berkata, undang-undang bagi menyekat pengembangan agama kepada orang Islam sudah ada di kebanyakan negeri kecuali Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang.

“Hanya empat negeri ini yang belum ada RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada orang Islam,” ujarnya.

Menurutnya, bagaimanapun undang-undang itu sudah termaktub dalam perlembagaan.

Tambahnya juga cuma ia perlu dibuat (enakman) di peringkat negeri-negeri. – HARAKAHDAILY 15/3/2021

- Advertisement -