Permohonan biasiswa Yang di-Pertuan Agong dibuka hari ini

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Permohonan bagi Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2021 untuk peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di dalam dan luar negara dibuka mulai 5 petang ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini berkata permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my

Menurut JPA, tarikh akhir bagi mengemukakan borang permohonan yang lengkap berserta dokumen sokongan secara serahan tangan atau pos adalah pada 9 April ini.

“BYDPA menawarkan sebanyak 12 biasiswa iaitu enam di peringkat sarjana dan enam di peringkat PhD untuk calon mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam,” katanya.

- Advertisement -

JPA berkata keutamaan diberikan kepada calon yang mendapat keputusan akademik amat cemerlang iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sekurang-kurangnya 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana.

JPA berkata keutamaan juga diberikan kepada calon yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kokurikulum, mahir dalam lebih satu bahasa antarabangsa, atau menghasilkan kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan dan reka cipta.

Katanya, calon yang telah mendapat tawaran pengajian secara sepenuh masa atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun penajaan di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan JPA mengikut bidang pengajian turut diberi keutamaan.

Syarat kelayakan lain ialah warganegara Malaysia dan berumur tidak lebih 35 tahun pada 1 Jan 2021.

“Calon yang memenuhi syarat permohonan serta melepasi saringan lanjut akan disenarai pendek untuk menghadiri temu duga,” katanya.

JPA berkata pengajian peringkat sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan atau disertasi atau tesis.

Maklumat lanjut mengenai penawaran itu boleh didapati melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03–8885 3879/3569 pada setiap hari bekerja mulai jam 9 pagi hingga 5 petang atau e-mel kepada [email protected]. – BERNAMA

- Advertisement -