Terus kekal bersatu atas dasar akidah Islam – Mufti

Dato' Dr Luqman Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini diseru agar kekal teguh memelihara kedaulatan agama Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang meluluskan penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam.

Dukacita dengan keputusan itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Dr Luqman Abdullah berkata pihaknya masih percaya isu itu dapat diselesaikan dengan cara yang lebih harmoni dalam masa terdekat oleh pihak-pihak berautoriti dalam negara.

“Perlu diingat bahawa sebarang hal yang menyentuh perihal agama secara tidak langsung berkait dengan nilai sensitiviti yang mesti dijaga dengan baik.

- Advertisement -

“Sekiranya tidak mampu diselesaikan dengan cara yang lebih harmoni, dibimbangi ia bakal mencetuskan ketegangan di antara agama serta kaum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya berharap agar umat Islam di negara ini terus kekal bersatu atas dasar akidah Islam yang sahih berteraskan kerangka Ahlul Sunnah wal Jamaah.

“Ingatlah, bersatunya umat Islam adalah asas pembinaan khayra ummah (umat yang terbaik) sekali gus menjadi tauladan kepada sekalian umat manusia,” ujarnya.

Dr Luqman turut menasihati umat Islam supaya mengukuhkan tahap keimanan kepada Allah SWT dan berusaha memelihara ibadah wajib serta mendekatkan diri kepada Pencipta.

“Dalam tempoh pandemik yang sedang melanda, umat Islam dinasihatkan untuk mengukuhkan lagi tahap keimanan kepada Allah SWT.

“Marilah kita berusaha memelihara ibadah-ibadah seperti kewajipan solat fardu lima waktu, mendekatkan diri kepada Allah menerusi zikir munajat, meminta pertolongan kepada Allah dengan sentiasa berdoa kepada-Nya, menjaga adab serta tatasusila berasaskan akhlak Rasulullah s.a.w.

“Kesemua inilah yang akan menjadi dasar kekuatan umat Islam dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang,” katanya lagi.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain iaitu solat, kaabah dan baitullah dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka. – HARAKAHDAILY 13/3/2021

- Advertisement -