Minggu Al-Quds: Solidariti perjuangan umat Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) menyambut baik usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajian Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Persatuan Ulamak Malaysia dalam menyemarakkan Minggu Al-Quds Sedunia yang turut disertai rakan-rakan negara Islam di seluruh dunia.

Pesuruhjayanya, Ustaz Azhar Yahya berkata, kempen yang dijalankan selama seminggu bermula 8 Mac sehingga 14 Mac itu dilihat sangat signifikan dengan jatuhnya tarikh peristiwa Israk Mikraj pada 27 Rejab bersamaan 11 Mac lalu.

- Advertisement -

“Al-Quds atau Masjid Al-Aqsa sememangnya menjadi tempat bersejarah yang sangat penting dalam peristiwa Israk Mikraj kerana di sanalah Nabi Muhammad SAW berkumpul bersama para nabi sebelum menaiki langit sehingga ke Sidratul Muntaha,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, lokasi ketiga tersuci bagi umat Islam itu juga menyaksikan perjuangan membebaskannya oleh Saidina Umar Al-Khattab dan tenteranya, kemudiannya oleh Salahuddin Al-Ayyubi dan kini ia kembali dijajah dan saudara seIslam kita masih dizalimi oleh rejim Zionis yang terlaknat.

“Kita sangat bersyukur kerana kerajaan Malaysia tetap tegas dengan pendirian mempertahankan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan menyokong usaha-usaha ke arah kesatuan umat Islam merentasi sempadan kenegaraan mahupun aliran pemikiran,” katanya lagi.

Sehubungan itu, ujarnya BPPWP menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk sentiasa membangun kesedaran tentang kepentingan mempertahankan Al-Quds dan tidak hanya dibuat secara bermusim sahaja.

Beliau berkata, umat Islam hendaklah yakin dengan kemenangan yang Allah telah janjikan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman seperti maksud firman-Nya dalam Surah Ali Imran, ayat 60:”Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan, maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu”. – HARAKAHDAILY 13/3/2021

- Advertisement -