Isu kalimah Allah: Tuntut pemerkasaan Islam

- Advertisement -

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) mengikuti dengan penuh teliti keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut Kristian bagi tujuan pendidikan dan kegunaan agama Kristian.

Apakah yang dimaksudkan dengan keputusan tersebut? Apakah boleh nama Allah diletakkan bersekali dengan lambang salib di tiang Gereja? Apakah ini tidak akan menimbulkan kekeliruan dan menimbulkan keresahan kepada ummat Islam?

- Advertisement -

Nama Allah ada kemuliaannya, hanya ummat Islam yang tahu menjaga kemuliaan kalimah tersebut. UMMAH menegaskan bahawa kalimah Allah adalah kalimah suci ummat Islam, dan milik ummat Islam dan penjaga kesuciannya adalah ummat Islam. Maka UMMAH berpendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh sewenang-wenangnya diberikan penggunaannya kepada pihak lain dengan kegunaan yang tertentu yang bukan pemiliknya.

UMMAH menyandarkan pendirian ini berdasarkan kepada pandangan Almarhum Al Hafiz Dato’ Dr Harun Din yang menegaskan bahawa kalimah Allah adalah milik ummat Islam dan tidak boleh diberikan penggunaan nya kepada agama Kristian. Ummah: https://www.youtube.com/watch?v=N06ntSLtb_4

UMMAH juga menegaskan bahawa tafsiran agama Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana dalam Perlembagaan Persekutuan, mestilah membawa makna dan roh bahawa, Islam adalah di bawah Raja-raja Melayu dan YDPA sebagaimana yang difahami oleh kita semua. Maka Islam dan kalimah Allah adalah satu ikatan dan terikat, adalah di bawah kuasa Raja-raja Melayu dan sebarang keputusan yang dibuat oleh mana- mana pihak mestilah selari dan selaras dengan maksud tersebut. Adakah keputusan yang dibuat oleh mahkamah ini selaras dengan kehendak tersebut.

UMMAH menyeru kepada semua pihak termasuk NGO Islam dan pemimpin ummat Islam bersama-sama mempertahankan kalimah Allah ini daripada sebarang penggunaannya yang boleh dimanipulasi dan memudaratkan kalimah tersebut dan ummat Islam.

Sehubungan itu UMMAH akan melancarkan kempen seruan bagi mengadakan satu himpunan besar-besaran secara webinar bagi menegaskan pendirian ini bersama NGO Islam. Ummat Islam wajib bersatu dalam mempertahankan kesucian akidah ummat – kalimah Allah, dan juga Raja-raja Melayu yang diberi kuasa bagi melindungi dan menjaga hal ehwal agama Islam.

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
12 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 12/3/2021

- Advertisement -