Kerajaan negeri bayar sewa rumah mangsa tanah runtuh

- Advertisement -

PASIR MAS: Kerajaan negeri akan membaik pulih runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi dekat sini di mana peruntukan projek tersebut diajukan kepada kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Hanifa Ahmad berkata, anggaran kos pembinaan tebing berkenaan hampir RM60 juta dan dijangka siap menjelang November tahun ini.

Katanya, projek tersebut bagi membolehkan tebing sungai berkenaan dibangunkan semula termasuk meletakkan batu tebatan.

“Pelan pembinaan tebing itu telah disiapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan dijangka pembinaannya akan mengambil masa selama enam bulan.

- Advertisement -

“Kita tekankan supaya projek tersebut disiapkan tidak lewat daripada bulan November kerana dikuatiri sekiranya berlaku musim tengkujuh akan kembali terhakis,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada 17 Februari lepas sebanyak lima rumah penduduk musnah susulan kejadian tebing sungai runtuh di Kampung Pohon Chelagi.

Kejadian itu menyebabkan kesemua 45 keluarga yang merangkumi 98 penduduk yang mendiami kawasan berkenaan dipindahkan sementara ke kawasan selamat.

Berikutan itu juga Kerajaan Kelantan menghantar kertas cadangan khas kepada Kabinet bagi melaksanakan kerja-kerja pemulihan runtuhan tebing sungai di lokasi kejadian.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk membaik pulih runtuhan tebing sungai, pengambilan tanah di kawasan yang terlibat dan pembinaan semula Rumah Pam Saliran Air Muleh.

Hanifa yang juga Adun Pengkalan Pasir berkata, selewat-lewatnya April ini kontraktor boleh memasuki tapak pembinaan.

Menurutnya juga kerajaan akan menanggung kos sewa bulanan rumah penduduk yang terjejas dalam kejadian tersebut.

“Kerajaan akan membayar sepenuhnya kos sewaan rumah di tempat lain selama tempoh enam bulan dengan kadar sewaan sebanyak RM500,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!