Parit Buntar bakal jadi pilihan pelabur

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Parit Buntar dan Bagan Serai di Daerah Kerian berada di lokasi strategik kerana terletak berhampiran dengan Pulau Pinang.

Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad berkata, kawasan itu berpotensi dijadikan sebagai hab sektor perindustrian dan eko-pelancongan.

Katanya pelabur berpeluang memilih Parit Buntar dan Bagan serai sebagai lokasi pelaburan baharu memandangkan kawasan perindustrian di Batu Kawan kini sudah padat.

- Advertisement -

Selain itu kata beliau kedudukan kawasan terbabit juga berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan pelabuhan.

“Saya difahamkan menggunakan Jambatan Kedua Pulau Pinang dari kawasan ini ke Pulau Pinang hanya memakan masa setengah jam sahaja.

“Dengan kedudukan yang strategik kita menjangka pelabur akan tertarik untuk melabur di Parit Buntar dan Bagan Serai,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Program Menteri Besar Perak Bersama Rakyat (MESRA) di Kerian hari ini.

Program berkenaan diadakan di Kampung Nibung Hangus dekat sini turut dihadiri pemimpin-pemimpin tempatan.

Saarani juga berkata, pelabur boleh membina kilang di Parit Buntar dan Bagan Serai yang akan dibangunkan kerajaan negeri sebagai kawasan industri.

“Saya yakin kawasan ini akan membangun dan menjadi tumpuan orang ramai. Di samping itu mempunyai kelebihan tersendiri daripada sudut eko-pelancongan.

“Kawasan tersebut juga sentiasa menjadi destinasi pilihan bagi ‘kaki-kaki pancing’,” ujar beliau.

Pada lawatan itu Menteri Besar melepaskan 100,000 benih udang galah, 73,000 benih ikan lampam serta 15,000 benih ikan baung ke dalam Sungai Nibung Hangus.

- Advertisement -