Sg Kereh: KASA terbukti utamakan penduduk – LATAS

- Advertisement -

LAJNAH Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pulau Pinang, menggesa supaya tujuh langkah menangani Pencemaran Sungai Kereh yang dibentangkan oleh Dato’ Dr. Nadzri Yahya, Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pencemaran Sungai Kereh (Task Force KASA Sungai Kereh) kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dilaksanakan dengan pemantauan susulan secara serius sehingga isu ini benar-benar diselesaikan. 

LATAS merakamkan perhargaan kepada YB Menteri KASA Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man atas komitmen proaktif sehingga terbentuk Task Force KASA Sungai Kereh bagi menangani isu ini secara serius. LATAS berpandangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang seharusnya mampu menyelesaikan isu ini lebih awal sekiranya layanan adil diberikan kepada pesawah, nelayan sungai dan penduduk sekitar Sungai Kereh yang majoritinya adalah Melayu Muslim. 

- Advertisement -

Sikap terlalu memberi muka kepada pencemar sungai di kalangan sebahagian pemilik ladang khinzir Kampung Selamat adalah menggambarkan keadilan sosial terhadap pesawah, nelayan dan penduduk masyarakat Melayu Muslim tidak dipandang serius. 

Tahap Sara Diri (Self Sufficient Level-SSL) Khinzir Pulau Pinang melebihi 265 peratus yang berlebihan menyebabkan kesannya terhadap alam sekitar dan sungai di Pulau Pinang. Pencemaran kumbahan khinzir yang masuk ke sungai Kereh telah melebihi daya tampung (river carrying capacity) berpunca daripada SSL yang melampau sedangkan majoriti penduduk setempat adalah di kalangan Melayu Muslim.

Justeru, LATAS menegaskan bahawa program memperkasakan komuniti yang bakal dilaksanakan mesti dibuat dengan kerjasama Badan Bertindak Penduduk Bantah Pencemaran Sungai Kereh yang telah bergerak secara tersusun merangkumi wakil-wakil komuniti pesawah, nelayan sungai dan penduduk sekitar sungai. 

Sekian, Terima Kasih 

SAIFUL LIZAN MD YUSOF
Timbalan Pengerusi LATAS PAS Pusat
Pengerusi LATAS PAS Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 11/3/2021

- Advertisement -