Israk Mikraj: Sentiasa berlumba lakukan kebaikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri berharap sempena sambutan penghayatan peristiwa Israk dan Mikraj hari ini mampu menjadikan umat manusia yang sentiasa berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat negara ini menghayati makna dan roh di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj supaya kita diberkati dan dirahmati Allah dunia dan akhirat.

“Saya percaya peristiwa besar perjalanan penuh mukjizat Rasulullah s.a.w dapat dihayati sebaik-baiknya oleh seluruh umat. Kita hendaklah meninggalkan kemungkaran, Insya-Allah,” katanya pada catatan di media sosialnya.

- Advertisement -

Hari ini umat Islam di seluruh dunia menyambut Israk Mikraj 1442 dengan mengadakan pelbagai program termasuk ceramah, kuliah dan takzirah.

Malah PAS Kelantan turut menganjurkan ceramah sempena Israq Mikraj malam ini di Dewan Zulkifi Muhammad Pejabat Perhubungan PAS negeri.

Program itu menampilkan tiga pemimpin utama iaitu anggota-anggota Exco Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan Setiausaha PAS Kelantan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi.

Program berkenaan bermula jam 9 malam turut diadakan siaran langsung melalui Facebook Kelantan TV.

Perdana Menteri yang sedang dalam rangka lawatan ke Abu Dhabi sejak semalam berkata, umat Islam meraikan sambutan itu dengan pelbagai acara termasuk ceramah, forum perdana, takzirah dan sebagainya.

“Situasi semasa Covid-19 menyaksikan sambutan tersebut terpaksa diraikan dalam suasana normal baharu dan bersederhana,” ujarnya.

Peristiwa Israk Mikraj merupakan perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestin.

Baginda kemudian naik ke langit sehingga ke Sidratil Muntaha, malah ada riwayat sehingga ke Mustawa dengan menembusi tujuh lapis langit.

Baginda juga kembali semula ke Makkah pada malam yang sama. Peristiwa itu mengandungi sesuatu yang amat menakjubkan.

Perjalanan Nabi Muhammad s.a.w begitu istimewa kerana menggunakan kenderaan Allah yang kelajuannya tidak boleh ditandingi ciptaan makhluk. – HARAKAHDAILY 11/3/2021

- Advertisement -