Perutusan Israk dan Mikraj 1442 Hijrah

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T :

- Advertisement -

‎سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

“Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

(al-Isra’: ayat 1)

Saban tahun kita menyambut kedatangan peristiwa agung Israk dan Mikraj yang terkandung pelbagai hikmah dan pengajaran. Kefarduan solat merupakan satu anugerah yang paling besar daripada Allah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W dan umatnya dalam peristiwa tersebut. Ibadah solat 5 waktu ditetapkan merupakan kunci utama kepada pembentukan iman dan takwa umat Islam.

Setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan RM0.8 juta bagi program kecemerlangan solat. Program Membina Generasi Solat adalah kesinambungan Sambutan Bulan Sembahyang yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri sejak 3 dekad pentadbiran Membangun Bersama Islam. Program Membina Generasi Solat telah mendapat sambutan dan maklum balas positif daripada rakyat Kelantan yang bermatlamat untuk memastikan pengimarahan lebih 600 buah masjid dan 2 ribu surau di Kelantan terutama kepada generasi muda.

Usaha – usaha ini perlu terus disokong supaya Negeri Kelantan kekal berkat lagi makmur di mana iman dan takwa ditafsirkan sebagai faktor pendorong kepada terbentuknya akhlak seorang individu yang beramal soleh, pekerja yang berintegriti dan berkualiti, pemerintah yang adil dan saksama, seterusnya menghindari masalah sosial, mengekang jenayah dan tiada sebarang unsur penyelewengan ataupun rasuah.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua rakyat Kelantan agar memastikan ibadah solat sentiasa dijaga dan diambil berat sama ada dalam ahli keluarga, masyarakat dan pekerja di bawah tanggungjawab kita. Marilah kita berdoa kepada Allah S.W.T agar musibah dan ujian akibat penularan wabak COVID-19 dapat dibebaskan daripada kita semua.

DATO’ BENTARA KANAN
USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
27 Rejab 1442H / 11 Mac 2021M – HARAKAHDAILY 11/3/2021

- Advertisement -