GRS Sabah-Kelantan bincang potensi kerjasama

- Advertisement -

KOTA BHARU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui negeri itu sejak September tahun lepas berusaha mencari rakan strategik dalam pelbagai bidang di Semenanjung.

Usaha itu bagi membangunkan sosioekonomi rakyat Sabah bagi mendepani cabaran pasca pandemik Covid-19.

Adun Sabah Dr Aliakbar Gulasan berkata, beliau dan rombongan dari Sabah melawat Kelantan bagi membincangkan beberapa potensi kerjasama antara kedua-dua negeri.

Kata beliau fokus utama lawatan tersebut dengan penumpuan kepada sektor pendidikan dan pertanian.

- Advertisement -

“Saya dan rakan-rakan juga hadir pada pertemuan ringkas tetapi penuh bermakna bersama Dewan Usahawan Kelantan dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kelantan,” katanya di sini.

Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri Sabah pada September lepas selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sebelum itu Warisan berjaya menubuh kerajaan ekoran beberapa Adun BN melompat parti. Sedangkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dimenangi BN.

Pada PRU14 Warisan memperolehi 21 kerusi Dun, manakala DAP menang enam kerusi dan PKR dua kerusi menjadikan jumlah keseluruhan 29.

Tidak lama kemudian enam Adun BN menyokong Warisan membolehkan parti itu mempunyai kerusi mencukupi sebanyak 35 bagi membentuk kerajaan majoriti mudah.

Namun kerajaan ‘pintu belakang’ Warisan akhirnya tumbang pada PRN 26 September lepas. Pada PRN itu GRS memenangi 37 kerusi.

Kejayaan tersebut membolehkan GRS yang diwakili PN, BN dan Parti Bersatu Sabah dapat membentuk kerajaan negeri juga dengan majoriti mudah.

Kemudian pada 9 Januari lepas sembilan parti yang membentuk GRS menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan lagi kerjasama politik.

GRS terdiri daripada Bersatu, Umno, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), MCA, MIC, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan PAS.

Dr Aliakbar juga berkata, rombongan dari Sabah mengakhiri program lawatan ke Kelantan dengan menghadiri program Bual Siasah dianjurkan PAS Tumpat malam tadi.

Sebelum mengunjungi Kelantan rombongan dari Sabah terbabit mengadakan lawatan ke Terengganu termasuk menemui kepimpinan kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 11/3/2021

- Advertisement -