Terengganu agenda program solat selama sebulan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengambil inisiatif membesar-besarkan program berkaitan solat di Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sejak tahun 2019 kerajaan negeri menggerakkan agenda solat selama sebulan melalui program Bulan Penghayatan Ibadah Solat.

Katanya program itu bertujuan memberi kesedaran tentang solat supaya dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat.

“Ini menggambarkan begitu besarnya kefarduan solat. Maka ia adalah satu tanggungjawab besar,” katanya pada perasmian sambutan Israk Mikraj Peringkat Negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman hari ini.

- Advertisement -

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Ustaz Mohd Nor Hamzah, Mufti Terengganu Dato’ Dr Zulkifly Muda, wakil-wakil rakyat dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Rozali Salleh.

Menteri Besar juga berharap umat Islam menjadikan peristiwa Isra’ dan Mikraj sebagai tanda memperlihatkan kebesaran serta kehebatan kuasa Allah.

Kata beliau peristiwa tersebut menceritakan pertemuan antara Rasullulah s.a.w dengan Allah SWT yang akhirnya membawa perintah kefarduan solat lima waktu.

Menurutnya peristiwa perjalanan Rasullulah s.a.w dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebagai perkara tidak tercapai dengan ilmu manusia pada waktu itu.

“Di sinilah kita wajib yakin bahawa betapa kerdil dan ceteknya ilmu manusia, tetapi malangnya manusia tetap angkuh dengan meninggalkan ajaran Islam,” tambahnya.

Mohd Nor pula berkata, kedudukan ibadah solat adalah amat tinggi di sisi agama Islam kerana ia sebagai penghubung umat dengan Allah SWT. – UPDI

- Advertisement -