Laguna Seri Tujuh pusat latihan sukan perahu layar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Laguna Pantai Seri Tujuh, Tumpat akan dijadikan lokasi utama sebagai pusat latihan atlet sukan perahu layar.

Exco Belia, Sukan dan NGO, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, penubuhan pusat latihan perahu layar tersebut sebagai persiapan menjadi tuan rumah penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Ke-22 pada tahun 2026.

Katanya, pusat latihan itu dikendalikan dengan kerjasama Persatuan Perahu Layar Kelantan.

“Kita telah menyerah peralatan sukan perahu layar untuk digunakan persatuan terbabit, jurulatih dan atlet dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) menyerah peralatan sukan yang bernilai RM100,000 seperti sebuah bot ‘coach‘ dan tiga bot ‘optimist‘ kepada persatuan,” katanya selepas mesyuarat Exco di Mabna MBI Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Seramai 25 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Tapang dan enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Geting dipilih menyertai latihan perahu layar terbabit.

Kelantan mencipta sejarah apabila pertama kali dipilih menjadi tuan rumah Sukma edisi ke-22 pada 2024.

Bagaimanapun disebabkan pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia menyebabkan penganjuran di Kelantan ditunda kepada 2026.

Wan Roslan yang juga Adun Pengkalan Kubor berkata, pemilihan kedua-dua sekolah terbabit kerana lokasinya berhampiran dengan Laguna Pantai Seri Tujuh.

“Malah saya dimaklumkan kebanyakan pelajar sekitar kawasan itu mempunyai potensi serta bakat besar terlibat dalam aktiviti sukan yang bergantung kepada bantuan angin itu.

“Semua pelajar terbabit bermula daripada darjah lima akan dibimbing dan dilatih setiap hari oleh jurulatih yang juga Presiden Persatuan Perahu Layar Kelantan, Shaharin Ismail,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/3/2021

- Advertisement -