KDN atasi isu PTI bersama Kerajaan Sabah

- Advertisement -

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) merakamkan setinggi penghargaan atas kesudian Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor menerima kunjungan hormat delegasi KDN yang telah berlangsung di Pejabat Ketua Menteri Sabah, Kota Kinabalu pagi semalam.

Kunjungan hormat ini antaranya telah membincangkan isu-isu keselamatan dalam negeri dan kedaulatan Negeri Sabah, terutamanya berhubung masalah Pendatang Tanpa Izin (PTI) yang menjadi kebimbangan rakyat Sabah.

Dalam hal ini, KDN dan Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi termasuk pengusiran terhadap warga asing yang berada dalam Sabah secara haram.

- Advertisement -

Berdasarkan rekod dari tahun 1990 hingga Mac 2021, seramai lebih 600,000 PTI, terutamanya dari Filipina dan Indonesia telah diusir keluar Sabah termasuk hampir 7,000 orang PTI yang diusir sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah yang baharu di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor.

Kerajaan Negeri Sabah menegaskan bahawa semua warga asing yang berhasrat untuk berada di Negeri Sabah perlu melalui proses imigresen yang sah dan mematuhi lunas perundangan yang telah ditetapkan.

Dokumen perjalanan warga asing yang sah adalah amat penting pada ketika ini bagi menjayakan inisiatif kerajaan mengekang pandemik COVID-19 melalui pemberian suntikan vaksinasi kepada semua pihak, termasuk warga asing yang terlibat dalam sektor ekonomi dalam negara.

Bagi memperkasakan kawalan keselamatan sempadan, Kerajaan Negeri Sabah juga telah meluluskan peruntukkan khas sebanyak RM500,000 bagi memantapkan pengoperasian di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) selepas lawatan Ketua Menteri Sabah baru-baru ini.

KDN melalui semua agensi serta jabatan di bawahnya akan terus memperkasakan aset-aset keselamatan negara serta dasar-dasar kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keamanan dan keselamatan Sabah terjamin.

DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN
Menteri di Kementerian Dalam Negeri – HARAKAHDAILY 10/3/2021

- Advertisement -