Wanita terus diperkasa

Gambar sekadar hiasan - Foto FB KPWKM
- Advertisement -

TEMA ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’ dipilih mengikut suasana kini yang mendepani pelbagai cabaran dilalui khusnya ketika pendemik Covid-19 dan secara tidak langsung mampu meningkatkan semangat kaum hawa mencipta nama di negara mahupun antarabangsa.

Pemerkasaan wanita perlu diperhebat bagi menghalang segala diskriminasi dan berat sebelah yang dilakukan kepada kaum tersebut agar kehebatan serta kebijaksanaan mereka dapat ditonjolkan.

Dengan kehebatan luar jangkaan yang mampu dihasilkan, wanita kini tidak lagi boleh dipandang enteng dan direndahkan martabat mereka. Wanita bukan seperti yang disangka, malahan mereka mampu menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, wanita merupakan ‘frontliner’ yang sentiasa berada di dalam dan di luar rumah, ini kerana mereka adalah ibu, isteri dan penggerak masyarakat yang memberi sumbangan yang cukup besar kepada negara.

- Advertisement -

Dalam memperkasa wanita, ia merupakan tanggungjawab semua pihak. Oleh itu pelbagai langkah dan inisiatif diperkenalkan oleh KPWKM bagi memastikan kaum wanita mendapat manfaat semaksimum mungkin.

Katanya, dalam sambutan Hari Wanita 2021 juga, KPWKM mengiktiraf sumbangan pelbagai kategori wanita, malah turut menganugerahkan ikon kepada wanita hebat yang memberi sumbangan kepada negara.

Meletakkan isteri Rasulullah s.a.w iaitu Saidatina Khadijah Khuwailid r.a sebagai ikon untuk dicontohi terutama buat wanita Islam khususnya tentang kehebatan yang ada pada Khadijah seharusnya dijadikan ikon buat seluruh wanita di dunia.

Saidatina Khadijah merupakan salah seorang Ummu Mukminin iaitu isteri Rasulullah s.a.w yang sangat berjasa kepada umat Islam yang wajar dicontohi dari segi kemampuan, kesungguhan, keberanian, ketakwaan, peribadi yang tinggi, dermawan dan pelbagai lagi sifat baik.

Menyentuh mengenai sambutan Hari Wanita 2021 yang bertemakan ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’ diangkat selari dengan kempen di peringkat antarabangsa.

Kempen tahun ini juga mengajak semua pihak untuk terus bersama-sama menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi dan berat sebelah yang menghalang agenda pemerkasaan wanita.

Dalam usaha memartabatkan kaum wanita, kementerian juga dalam usaha mewujudkan pasukan Skuad Wanita Anti Jenayah (WAJA) sebagai salah satu usaha memastikan wanita di negara ini selamat tidak kira di mana mereka berada.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, kementerian juga akan melancarkan WAJA sebagai rakan strategik pihak berkuasa dan kementerian dalam memastikan wanita sentiasa selamat dan dilindungi.

Katanya, skuad WAJA yang bakal diwujudkan itu akan dilancarkan secara rasmi dan diperluaskan ke seluruh negara

KPWKM juga sedang berusaha untuk memastikan supaya wanita turut terlibat secara aktif terutama dari sudut pembuat keputusan.

“Walaupun statistik wanita sebagai pembuat keputusan di sektor awam telah melebihi sasaran 30 peratus dengan angka 37.3 peratus pada tahun 2020, tetapi ia tidak harus terhenti di situ sahaja.

“Manakala katanya, di sektor swasta pula menunjukkan hanya terdapat 17.2 peratus wanita sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan perkara ini perlu diberikan perhatian,” katanya.

Bagaimanapun, seruan dan usaha untuk memastikan peningkatan wanita sebagai pembuat keputusan itu bukanlah sebagai halwa mata yang melihat kepada peningkatan angka semata-mata.

Beberapa kajian juga telah membuktikan bahawa penyertaan wanita sebenarnya boleh menyumbang kepada tadbir urus organisasi yang lebih baik.

Malah, keupayaan wanita juga jelas terserlah dalam tempoh dunia berdepan dengan wabak Covid-19. Ini terbukti dengan sumbangan dan penglibatan wanita berganding bahu bangkit bersama golongan lelaki mendepani cabaran dan mencurah bakti sebagai petugas barisan hadapan. – HARAKAHDAILY 10/3/2021

- Advertisement -