Kritikal: Kanak-kanak di Yaman kekurangan nutrisi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Konflik dan peperangan yang tidak berkesudahan di Yaman akhirnya mengundang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak bantuan antarabangsa sebanyak USD3.85 bilion bagi menampung keadaan di negara itu.

Sehingga sekarang 16 juta rakyat Yaman kekurangan makanan dan lebih teruk lagi sebahagiannya kebuluran.

Menurut PBB separuh daripada kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah mengalami kekurangan nutrisi yang kritikal dan 400,000 daripada mereka berdepan dengan kematian sekiranya tidak mendapat rawatan segera.

Pengarah PASRelief, Mohd Yusni Mat Piah berkata, NGO terbabit menggerakkan misi bantuan ke Yaman sejak 2019 bagi membantu rakyat Yaman.

- Advertisement -

Katanya, PASRelief menggerakkan Misi Kemanusiaan Yaman pada 1 hingga 8 Mac 2019 menyerah 40.5 tan makanan kepada rakyat negara itu yang memerlukan.

“Misi tersebut disertai tiga wakil PAS Relief. Misi Kemanusiaan Yaman 2.0 pula diadakan pada 7 hingga 15 Mac 2020.

“Bagaimanapun misi itu tidak dapat diteruskan kerana pandemik Covid-19. Namun sebanyak RM100,000 yang dikumpul bersama NGO tempatan berjaya disalur melalui wakil di Yaman,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Adun Penaga Pulau Pinang berkata, usaha berterusan dilakukan PASRelief dengan melancarkan bantuan untuk Yaman melalui Tabung Sumbangan Kecemasan Mangsa Kebuluran di Yaman.

“Alhamdulillah beberapa hari lepas PASRelief menyampaikan sumbangan berupa keperluan makanan bernilai USD50 setiap pek kepada 50 keluarga yang memerlukan di Yaman,” ujarnya.

Menurutnya juga PASRelief memberi komitmen menggerakkan agenda kemanusiaan ke seluruh dunia terutamanya di Yaman.

Oleh itu beliau mengajak sumbangan orang ramai turut menjayakan misi tersebut. Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank Islamic – 5640 7061 1352 atas nama Tabung Kemanusiaan Antarabangsa (Yaman). – HARAKAHDAILY 10/3/2021

- Advertisement -