PRU15: Urus perbezaan kembalikan kepercayaan rakyat

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS Selangor yakin dengan kesatuan rakan-rakan politiknya, Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam mengurus perbezaan adalah formula terbaik bagi mengembalikan kepercayaan rakyat untuk memberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli berkata PAS tidak pernah jemu malahan sentiasa optimis dalam memperkukuhkan MN dan mempertahankan PN kerana ia adalah satu tanggungjawab dan amanah yang cukup besar untuk dilaksanakan.

“PAS tidak pernah main-main dalam memperkukuhkan MN dan sentiasa serius mempertahankan PN. Inilah tanggungjawab yang diberikan oleh pucuk pimpinan tertinggi kepada Badan Perhubungan Negeri agar membawa naratif memperkukuhkan Muafakat Nasional dan mempertahankan Perikatan Nasional.

“Selepas ini, mungkin rakyat akan melihat pertemuan PAS dengan rakan-rakan parti komponen dalam Perikatan Nasional pulak untuk membuka ruang musyawarah bersama bagi merealisasikan mempertahankan kerajaan dan gabungan politik demi kebajikan dan kebaikan untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Satu mesyuarat Muafakat Nasional peringkat Negeri Selangor telah diadakan yang dipengerusikan bersama Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, di Pejabat Badan Perhubungan Umno Selangor, malam tadi.

- Advertisement -

Mesyuarat itu melibatkan ahli jawatakuasa badan perhubungan negeri, pimpinan dewan pemuda dan pimpinan wanita serta muslimat kedua-dua parti itu.

Mengulas lanjut, Hanafi turut berkongsi kelebihan MN peringkat negeri Selangor adalah boleh bermusyawarah, keterbukaan dalam menerima sisi pandang berbeza yang serius mampu ditukar kepada menghormati dan boleh berseloroh.

Malahan katanya, masing-masing boleh mempertahankan prinsip parti dan bersedia dalam keadaan fleksibal mencantumkan perkara-perkara bersifat teknikal.

Menurutnya, negeri itu adalah cerminan sebenar wajah Malaysia apabila dilihat dari sudut jumlah kerusi komposisi pengundi mengikut umur, bangsa, dan non-partisan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Parlimen.

“Selangor ia sebenarnya mencerminkan wajah sebenar Malaysia. Undi anak muda berada pada peratus yang cukup tinggi dalam menentu parti mana dan gabungan manakah yang akan diberi mandat untuk mengurus tadbir Selangor.

“Saya menyuarakan kebimbangan dengan perkembangan celik politik anak muda kini bagi menghadapi PRU15. Parti perlu memberi perhatian kepada anak muda yang tidak berparti.

“Hal ini kerana peratus mereka adalah lebih tinggi berbanding ahli pemuda dalam parti. Namun masih ramai yang belum berdaftar sebagai pemilih, bahkan mereka masih belum menentukan parti dan gabungan politik mana menjadi pilihan mereka. Inilah cabaran buat semua parti politik dalam menghadapi PRU15.

“Jika kita hanya mengharapkan undi teras anak muda dalam parti masing-masing, kita akan ketinggalan dalam mencapai hasrat membawa mandat rakyat dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/3/2021

- Advertisement -