Meluhur dan mendaulat Islam dalam Perlembagaan

Hakikat diperjuangkan Presiden PAS di sebalik penegasan melalui tulisannya

- Advertisement -

PENDAPAT bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato’ Seri Gopal Sri Ram adalah spekulatif apabila mendakwa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menghina mahkamah. Malah desakan Gopal dengan membandingkan kes MalaysiaKini untuk Ahli Parlimen Marang itu diheret ke prosiding komital ternyata berbaur melampau dan keterlaluan.

Pihak tertentu yang mendakwa Tuan Guru melabel para hakim sebagai buaya belaan penjajah ternyata mengadu domba dan cuba melaga-lagakan. Tiada penghinaan seperti dituduhkan pihak-pihak tersebut. Hakikatnya, setelah keputusan mahkamah, buaya-buaya itu mendongak atas nama media, NGO dan individu muncul keluar dari ‘persembunyian’ mereka.

- Advertisement -

Begitukah sebenarnya prinsip kedaulatan undang-undang mahu diperjuangkan yang sudah terlihat seperti bermotif politik dan memihak kepentingan kelompok? Jika itu dihujahkan Dato’ Seri Gopal sebagai tonggak utama negara, ketahuilah bahawa penegasan Presiden PAS dalam tulisan beliau itu hakikatnya sedang mempertahankan hal tersebut.

Kami percaya Tuan Guru Abdul Hadi sedia ke mahkamah untuk mewakili dirinya, parti, agama dan negara ini untuk memperjuangkan pembebasan Perlembagaan Persekutuan dari tafsiran yang masih terjajah. Sewajibnya Islam dan kepentingannya paling berdaulat selaras peruntukan sedia termaktub di dalam Perlembagaan itu sendiri.

Malangnya, keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 baru-baru ini mendedahkan betapa penjajah masih mencengkam perundangan tertinggi negara. Berdaulatkah seperti itu apabila ia hanya menunjukkan Islam dalam peruntukan yang ada terkongkong dan boleh diperintah atau ditakluk?

Membebaskan Islam dari tafsiran sempit itulah mesej diperjuangkan Presiden PAS melalui tulisannya yang mesti dilihat kedudukan sebenar Islam dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Ketinggiannya, rohnya, sejarah, matlamat, kekuasaan serta segala cakupan ruang lingkupnya mesti berdiri dan teguh dengan sebenar-benarnya.

Ia tidak patut sekadar menjadi catatan yang ada ketikanya boleh diabai atau diketepikan. Apatah lagi dengan usaha untuk membuangnya sepertimana pernah terjadi semasa di era pemerintahan Pakatan Harapan. Kemerdekaan negara yang tertegak dengan Perlembagaannya sendiri mesti mendaulat sebagaimana diperjuangkan Presiden PAS.

Kami penuh yakin ramai hakim, peguam atau para pengamal perundangan yang sedang berada di belakang Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi dalam isu ini. Saf umat Islam akan bersama untuk meluhurkan tafsirannya serta mendaulatkan pelaksanaannya di tanah tumpah darah umat Melayu-Islam ini, bukannya menjadi bahan ketawa dan mainan penjajah.

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – HARAKAHDAILY 9/3/2021

- Advertisement -