Koalisi perdana parti Melayu keperluan mendesak

- Advertisement -

KOTA BHARU: Hala tuju pembentukan koalisi perdana parti Melayu membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dianggap sebagai keperluan mendesak sekarang.

Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar berkata, kini terletak di tangan PAS untuk direalisasikan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, peranan PAS sebagai pendamai tidak boleh dianggap enteng oleh mana-mana pihak.

“Perlu difahami konflik Umno dan Bersatu adalah luka yang sukar untuk dicari penawar, ia ibarat luka antara PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Namun, PAS hadir di antara Umno dan Bersatu adalah satu langkah politik yang tepat. Umno dan Bersatu wajib memperakui, mengiktiraf dan menyanjungi peranan dan pengorbanan PAS.

- Advertisement -
Dr Wan Rohila Ganti

“Umno tidak boleh membebankan PAS dengan permasalahan dalaman mereka, perebutan kuasa dan ketidakpuasan hati sesama mereka,” katanya ketika dihubungi di sini.

Kata beliau perkembangan itu dapat dilihat apabila pemimpin utama PAS dijentik secara sinikal di media sosial.

Baru-baru ini Umno dikatakan menghantar surat kepada Bersatu bagi menolak kerjasama pada PRU15. Bagaimanapun Umno Perlis dan Sabah tetap mempertahankan PN.

Dr Wan Rohila Ganti juga berkata, koalisi PAS dan Bersatu perlu menjunjung idea-idea demokrasi baharu yang segar, selaras dengan perkembangan politik dan kehendak rakyat.

Katanya pemerintahan hendaklah bersendi demokrasi supaya kritikan-kritikan dan saranan yang pernah dibawa PAS ketika berada di posisi pembangkang tidak menjadi bahan sinikal rakyat. – HARAKAHDAILY 9/3/2021

- Advertisement -