Wanita tunjang kekuatan negara dan keluarga

- Advertisement -

ISLAM meletakkan darjat kemuliaan wanita sama dengan lelaki. Wanita, sama ada ibu, nenek, isteri, anak, kakak dan lain-lain berperanan besar dalam menunaikan tuntutan kehidupan seharian. 

Allah mentaklifkan wanita sama dengan lelaki dalam memakmurkan bumi sebagai khalifah dan tanggungjawab yang sama juga dalam mentarbiah dan mendidik anak-anak, membina negara dan sebagainya.

- Advertisement -

Justeru, wanita mesti dimuliakan, dihargai, digauli dengan kasih sayang dan rahmat, ditunaikan hak-hak mereka yang wajib dan yang sunat. Bukan untuk dikasari, dizalimi dan didiskriminasi dan jangan tinggalkan tanpa peduli. Nabi S.A.W bersabda:

أَكْمَلُ المُؤْمِنِينَ إِيمَانًا ‌أَحْسَنُهُمْ ‌خُلُقًا، وَخَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِنِسَائِهِمْ

“Orang-orang beriman yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik manusia ialah yang paling baik muamalahnya terhadap wanita.”

(Tirmizi)

Di zaman jahiliah, wanita dizalimi, didiskriminasi, bahkan dianggap mendatangkan sial sehingga dibunuh tanpa sebab dan dosa sebagaimana disebut di dalam al-Quran:

وَإِذَا ٱلۡمَوۡءُۥدَةُ سُئِلَتۡ .  بِأَيِّ ذَنۢبٖ قُتِلَتۡ .

“Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup, ditanya, dengan dosa apakah dia dibunuh?”

(at-Takwir: 8-9)

Islam datang memurnikan fahaman dan tanggapan buruk terhadap wanita. Islam datang mengajar cara yang betul menggauli dan menghargai golongan wanita. Islam mengajar bagaimana memposisikan mereka ditempat yang layak bagi mereka.

Sempena hari wanita sedunia hari ini. Saya ucapkan selamat hari wanita kepada semua wanita di Malaysia. Sesungguhnya sifat kelembutan, keibuan yang ada pada wanita bukanlah satu halangan untuk bangkit menghadapi cabaran, malah di sebalik kelembutan itu tersimpan kekuatan yang utuh dan bersemangat waja.

SHAHRIL AZMAN ABD HALIM 
Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau 
ADUN Jengka – HARAKAHDAILY 8/3/2021

- Advertisement -