PRU15: Cabaran media, siber PH fokus reputasi PM

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS perlu mendepani cabaran media sosial sebagai medium penerangan kepada rakyat sama ada berkaitan parti, kerajaan atau isu-isu semasa yang lain.

Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) antara lain kerana keupayaan mereka menguasai pentas media sosial ketika itu.

Dan bagi menghadapi PRU15 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat ini, PAS dan pihak yang mendukung penyatuan ummah hendaklah merebut peluang dengan menguasai media baharu.

Terbaharu peringatan itu dilontar pula Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika perjumpaan dengan pemimpin PAS di Kompleks PAS Kedah, baru-baru ini.

Menurutnya, salah satu perkara yang menyebabkan PAS tewas kerana media sosial hampir dikuasai PH, biarpun apa yang ditularkan mereka tidak betul dan fitnah terhadap PAS.

- Advertisement -

“Namun apabila media kita gagal mendepani semula hal-hal terbabit, ia dianggap betul dan dipercayai pengundi ketika itu,” katanya.

Menurutnya di kawasan luar bandar orang ramai turut mendapatkan maklumat melalui televisyen, Facebook dan WhatsApp, manakala anak-anak muda pula meneroka Instagram dan Twitter.

Oleh itu, kata beliau memandangkan sebahagian pengundi Melayu berada di kawasan luar bandar maka petugas pilihan raya wajar memberi penekanan kepada medium berkenaan untuk menyampaikan info.

“Kita wajar berkongsi info sama ada kenyataan dan aktiviti pemimpin, kerajaan atau parti. Tidak perlu kongsi info-info bersifat menyerang pemimpin kita,” ujar beliau.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) berkata, jentera maya (cyber troopers) PH akan memainkan beberapa isu menjelang PRU15 termasuk menjatuh reputasi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Selain itu, mereka memberi persepsi kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal dengan mengasak berterusan supaya diadakan sidang parlimen.

“Kalau tembak peluru penabur mungkin kena sasaran tetapi tak mati, sebaliknya guna peluru bersasar walaupun sasaran tidak ramai tetapi puas hati,” ujar beliau.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan penyokong PAS dan orang ramai berhati-hati dengan penyebaran berita palsu (fake news) yang tiada had.

Beliau turut mengajak ahli dan penyokong PAS melanggan e-Harakah untuk mendapat informasi terkini yang sahih dan berwibawa. – HARAKAHDAILY 8/3/2021

- Advertisement -