Ogos masa terbaik buka gelanggang PRU15

MASA sudah suntuk sekarang. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) benar-benar makin hampir. Ada media sudah menghidu demam PRU15 apabila menganalisis calon-calon dan kawasan yang berpotensi.

Malah tidak kurang juga cuba melebarkan perpecahan dua blok pakatan yang wujud sekarang. Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) antara dua blok yang menjadi pilihan ramai.

Pembangkang lain termasuk Pejuang, Muda dan Warisan dianggap hanya sekadar memeriahkan suasana demokrasi. Ke hilir tidak, ke hulu pun tidak.

Namun apa pun di sebalik konflik yang muncul, petanda ke arah PRU15 semakin jelas sekarang. Petugas barisan hadapan sudah ramai dicucuk vaksin Covid-19.

Begitu juga pemimpin politik ramai yang sudah merasai denyut vaksin. Ia dimulakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari lepas. Sehingga sekarang ramai ahli politik menerima vaksin Pfizer-BioNTech.

Advertisement

Begitu juga petugas barisan hadapan dalam kalangan penjawat awam. Mungkin juga membabitkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Mereka juga sepatutnya dilabel sebagai petugas barisan hadapan.

Biarpun tiada kaitan dengan tugas menghalang pandemik Covid, namun PRU15 akan memposisikan mereka di kedudukan utama. Mereka akan mengendalikan hari penamaan calon dan proses pembuangan undi.

Petugas SPR tidak boleh dikesampingkan bagi mengelak penularan Covid di tempat mengundi pula. Apabila petugas SPR sudah divaksinkan maka visel PRU boleh dibunyikan.

Menjelang 1 Ogos ini bermakna tidak sampai lagi lima bulan. Tanggal 1 Ogos hadapan proklamasi darurat juga akan berakhir. Namun 1 Ogos bersamaan dengan 22 Zulhijjah 1442.

Malah musim haji juga sudah berakhir. Ketika itu ramai jemaah haji dalam perjalanan pulang kembali dari Makkah.

Kemungkinan lebih ramai jemaah haji berpeluang menunaikan fardhu haji tahun ini. Rundingan bagi tujuan itu dibawa perdana menteri. Beliau berada di Arab Saudi sekarang bagi membawa impian rakyat Malaysia.

Lawatan rasmi perdana menteri ke Arab Saudi bermula Sabtu lepas hingga 9 Mac ini. Kenyataan Wisma Putra Jumaat menyebut Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi (HLSC) di peringkat Menteri Luar Negeri sebagai platform menyeluruh hubungan dua hala akan dibentuk.

HLSC akan membuka ruang kepada perundingan berkala di antara Malaysia dan Arab Saudi termasuk berkaitan urusan haji dan umrah.

Malah pada Ogos juga suntikan vaksi sudah masuk fasa kedua. Fasa pertama Februari hingga April bagi petugas barisan hadapan. Fasa kedua April hingga Ogos untuk warga emas berumur 65 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Selain itu melibatkan orang kelainan upaya (OKU). Fasa ketiga antara Mei hingga Februari 2022. Ia tumpuan bagi penduduk berumur 18 tahun ke atas dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Ogos pilihan terbaik

Maka pilihan PRU 15 pada Ogos adalah antara alternatif terbaik. Ketika itu sudah ramai rakyat negara ini yang disuntik vaksin.

“Lagi pun pada masa itu juga semua sektor ekonomi semakin ligat. Diharap tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang rentas negeri.

“Pemulihan ekonomi semakin rancak. Malah rakyat juga berada dalam suasana gembira dengan sambutan Bulan Kemerdekaan. Sedangkan sambutan itu terhalang diadakan tahun lepas kerana Covid,” kata Pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS) Negeri Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yussof.

Bagi Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Mohd Nussuruddin Daud pula tidak dapat ditolak PRU15 diadakan lebih awal.

Beliau mengandaikan Ogos sudah agak lewat dengan situasi politik yang berlaku sekarang. Kerenah politik dengan permainan nombor masih berulang selagi kekuatan kerajaan dan pembangkang setara.

“Dalam tempoh yang ada sekarang sudah agak suntuk bagi melaksanakan gerak kerja pilihan raya,” ujar beliau.

Sebaliknya pensyarah kanan UiTM Raub Dr Che Hamdan Mohd Rozali menyifatkan PRU-15 sepatutnya diadakan akhir tahun lepas.

Namun sasaran itu tidak lagi menjadi kenyataan kerana pandemik Covid-19. Ditambah pula pengisytiharan proklamasi darurat yang dianggap menghalang proses demokrasi dilaksanakan.

“Dengan keadaan parti pemerintah tidak stabil maka pilihan raya adalah peluang terbaik untuk membuktikan sokongan rakyat dan seterusnya mendapat mandat dan legitimasi,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau bimbang perpecahan sekali lagi akan berulang selepas PRU15 sekiranya pakatan politik yang dibentuk masih tidak stabil.

Namun apa cabaran sekalipun kata Dr Che Hamdan langkah menstabilkan bilangan kerusi di Dewan Rakyat lebih penting.

“Apa yang lebih penting bagi membentuk kerajaan yang berdaulat dan ada legitimasi,” tambah beliau.

Ogos juga boleh menyelesaikan tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) yang tertangguh sebelum ini. PRK Parlimen Batu Sapi sebelum ini ditetapkan 5 Disember 2020.

“Begitu juga PRK Parlimen Gerik di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah. Ogos bukan sekadar peluang terbaik bagi PRU-15, sebaliknya ‘melunas hutang’ 3 PRK yang tertangguh kerana proklamasi darurat,” kata Dr Wan Nik. – HARAKAHDAILY 8/3/2021