Siapa kata wanita tidak mampu memimpin?

- Advertisement -

SAYA mula berkhidmat kepada rakyat ketika menjadi Ahli Parlimen Bachok pada tahun 2013. Sejak daripada itu, saya sudah berjumpa dengan ramai nama-nama Muslimat hebat yang memimpin di Negeri Kelantan. Antara pencapaian yang membekas di ingatan adalah kepimpinan YB Mumtaz Md Nawi, atau panggilan mesranya Kak Tah.

Saya masih ingat lagi seawal Kak Tah dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Kelantan, beliau dan pasukannya telah melaksanakan Cuti Ihdad iaitu cuti yang diberikan kepada kakitangan wanita yang kematian suami iaitu selama 30 hari cuti bergaji. 

Begitulah hebatnya peranan kepimpinan wanita dalam memenuhi keperluan wanita, termasuklah sokongan dari sudut emosi. Sepanjang saya berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri pula, begitu ramai pemimpin wanita yang diberi peluang mengemudi agensi-agensi agama. Secara peribadinya, saya melihat skill kepimpinan mereka sangat efektif, dan tidak ada kurangnya berbanding lelaki.

- Advertisement -

Sekadar menyebut beberapa nama, seperti Puan Hajjah Noor Hadina yang mengetuai Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENS), Puan Parihah Hasan yang memangku jawatan Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yang Berbahagia Prof Datuk Dr Azizan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Nama-nama ini jelas menunjukkan bahawa wanita Islam Malaysia juga terlibat sebagai pembuat dasar di posisi penting organisasi termasuklah dalam pentadbiran hal ehwal agama. Pengalaman ini meyakinkan saya bahawa, tidak ada masalah langsung untuk wanita diberi peluang dilantik ke suatu jawatan penting di sesebuah organisasi sekiranya hal itu berada di bawah kepakaran dan kelayakan mereka. 

Untuk mendepani cabaran di tahap ini, saya percaya bahawa, sesiapa pun, baik lelaki mahupun wanita, sangat memerlukan kepada ilmu. Dan ilmu yang paling meneguhkan untuk kita bangkit menghadapi rintangan sudah pastilah ilmu agama. Daripada Jabir bin Abdullah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

سَلوا اللهَ علمًا نافعًا ، و تعوَّذوا باللهِ من علمٍ لا ينفَعُ

Mohonlah (kepada Allah) ilmu yang bermanfaat dan berlindunglah kepadaNya dari ilmu yang tidak bermanfaat.” 

(Hadis Riwayat Ibnu Majah (no. 3843))

Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Majlis Wanita Islam YADIM (MAYA) di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) atas usaha yang sangat bagus dalam meraikan Hari Wanita. Sambutan yang bertemakan ‘Manhaj Rabbani Asas Model Ummahatul Mukiminin’ ini diadakan selama 3 hari, dan turut melibatkan ramai tokoh wanita tempatan dan Antarabangsa. Dengan ini, saya ingin menjemput para wanita sekalian untuk merayakan Hari Wanita dengan ilmu. Jemput sebarkan poster-poster program ini, agar lebih ramai wanita boleh mendapat manfaat.

https://www.facebook.com/480621232017153/posts/3876968735715702/

YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 8/3/2021

- Advertisement -