16 buah rumah dapat manfaat Wakaf Air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyerahan projek sistem bekalan air terawat melalui pembiayaan Wakaf Air Pertama di Malaysia memanfaatkan 16 buah rumah di Kampung Melayu Selong, Senai, Johor Bahru.

- Advertisement -

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, projek tersebut disasar akan menyelesaikan masalah bekalan air sedia ada kepada 16 buah rumah tersebut yang sebelum ini bergantung kepada sumber air tidak terawat daripada pengepaman air telaga, anak sungai, tadahan air hujan, tadahan air mata air.

“Projek ini diselia oleh SPAN Wilayah Selatan dan Ranhill Syarikat Air Johor (RSAJ) dengan menggunakan pembiayaan daripada Wakaf Air berjumlah RM34,776.00.

“Pelaksanaan projek melibatkan penyambungan sistem retikulasi Taman Impian Jaya, Seelong dan ditakung dalam tangki sedutan berkapasiti 500 gelen untuk dipam ke tangki pengimbang berkapasiti 1,500 gelen sebelum disalurkan ke rumah penduduk kampung,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas selesai melancarkan projek Wakaf Air Pertama di Kampung Melayu Selong, di Senai, Johor, petang tadi.

Tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, projek berjaya diselesaikanl dalam tempoh tiga minggu yang mana ia mula dibina pada 11 Februari 2021 dan siap pada 4 Mac 2021.

Beliau pada masa sama turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama menjayakan projek Wakaf Ait khususnya kepada para penyumbang tabung Wakaf Air.

Majlis penyerahan turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kerajaan Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Abdul Halim Mat Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.

Untuk rekod, projek yang dibiaya oleh Wakaf Air atau Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air Malaysia itu merupakan hasil kerjasama strategik Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang telah dilancarkan pada 17 Disember tahun lalu. – HARAKAHDAILY 8/3/2021

- Advertisement -