HLSC: Perlu tingkat hubungan Arab Saudi-Malaysia

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menekankan bahawa terdapat keperluan meningkatkan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi melalui Jawatankuasa Strategik Peringkat Tinggi (HLSC).

“Hubungan erat yang terjalin sekian lama antara kedua-dua negara perlu ditingkatkan lagi dalam pelbagai bidang termasuk agama, ekonomi, perdagangan dan lain-lain lagi.

- Advertisement -

“Lawatan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) ke Arab Saudi akan mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara dan memberi manfaat bersama dari sudut ekonomi, haji, umrah, sains, teknologi dan pendidikan,” katanya dalam program temu bual bersama Saudi TV bersempena lawatan itu, pada Ahad.

Dalam program itu juga, Zulkifli turut memuji inisiatif Makkah Road yang dilancarkan Arab Saudi bagi memudahkan urusan ibadah haji bagi jemaah haji Malaysia.

Malaysia merupakan negara terawal yang dipilih Arab Saudi untuk menyertai inisiatif itu, selain Indonesia.

Zulkifli turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud atas semua usaha dan sumbangan terhadap dunia dan umat Islam sejagat.

Pada Sabtu lepas, Muhyiddin berlepas ke Arab Saudi untuk lawatan rasmi selama empat hari.

Lawatan itu adalah bagi memenuhi jemputan Raja Arab Saudi Raja Salman. – BERNAMA

- Advertisement -