Wakil rakyat ‘tidak kebal’ rentas negeri

- Advertisement -

TUMPAT: Pemimpin kerajaan termasuk wakil-wakil rakyat ‘tidak kebal’ ketika berhadapan dengan pihak berkuasa keselamatan terutamanya ketika ingin merentas sempadan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, wakil rakyat yang mempunyai urusan kerajaan di negeri lain juga perlu memohon surat rentas sempadan seperti orang lain.

Katanya, borang berkenaan perlu diisi dan tiada layanan istimewa ketika musim pandemik sekarang.

“Pengalaman saya sendiri ketika urusa kerajaan ke Johor, menaiki kereta kerajaan bukan kereta peribadi, mereka meminta surat kelulusan rentas sempadan negeri.

- Advertisement -

“Borang berkenaan juga mesti diisi lengkap untuk apa tujuan rentas negeri dan sebagainya,” ujarnya pada majlis penyampaian sumbangan kerajaan negeri peringkat Dun Pengkalan Kubor di Dewan Sri Tujoh semalam. (Foto atas)

Pada program itu seramai 128 peniaga di Kedai Bebas Cukai (KBC) Pengkalan Kubor menerima sumbangan tersebut.

Kata beliau tiada istilah kebal bagi pimpinan kerajaan yang ingin merentas negeri walaupun urusan berkaitan dengan kerajaan.

Tambah beliau rakyat perlu memahami setiap peraturan yang dibuat kerajaan bagi manfaat masa depan rakyat dan negara khususnya ketika menangani Covid-19 sekarang.

“Rakyat juga mesti faham kenapa rentas negeri masih tidak dibenarkan biarpun rentas daerah dibenarkan bermula 5 Mac. Ia bertujuan menyekat rantaian penularan Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2021

- Advertisement -