Kerjasama Umno mantap gerak kerja PN di Perlis

Shukri bersama Muhyiddin selepas perjumpaan PN Perlis bersama Perdana Menteri di sebuah hotel di Kangar, hari ini.
- Advertisement -

KANGAR: Umno Perlis positif bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu biar pun Umno pusat tidak mahu mengadakan kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN Perlis Mohd Shukri Ramli berkata, pihaknya amat berharap kerjasama antara PAS, Umno dan Bersatu dapat diteruskan di samping penyertaan parti-parti lain dan NGO.

Katanya, Pengerusi Umno negeri Dato’ Seri Shahidan Kassim amat positif menjalin kerjasama dengan PN di Perlis.

“Walaupun Umno di peringkat pusat menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memutus kerjasama pada PRU15, namun ia berbeza di Perlis.

- Advertisement -

“Kita amat berharap keputusan yang positif daripada Umno untuk terus bersama dengan PN,” katanya selepas perjumpaan PN Negeri bersama Perdana Menteri di sebuah hotel di sini hari ini.

Semalam, Shahidan dilapor mengumumkan Umno Perlis akan meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

“Keputusan Umno Perlis menyokong kerajaan Perikatan Nasional dan semasa pilihan raya, kami akan bekerjasama dengan semua parti politik Bumiputera iaitu Bersatu dan PAS,” lapor sebuah portal berita.

Mohd Shukri juga berkata, PAS dan Bersatu sentiasa membuka ruang kepada parti lain di negeri itu untuk turut menyertai pakatan tersebut.

“Setakat ini kita mempunyai dua parti iaitu PAS dan Bersatu, kewujudan gerakan atau parti lain masih terbuka. Jika sekiranya ada parti lain seperti Gerakan kita akan bergerak bersama.

“Dengan wujudnya PN di negeri Perlis kita akan memantapkan lagi gerak kerja ke arah menghadapi PRU15,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis. – HARAKAHDAILY 5/3/2021

- Advertisement -