Polis pantau pihak iklan penjualan vaksin

Datuk Zainuddin Yaacob
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dua laporan polis diterima berkaitan penipuan penjualan vaksin Covid-19, melibatkan kerugian bernilai RM285,499, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob.

Beliau berkata kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis mengesan terdapat penularan informasi di media sosial berkenaan penjualan vaksin Covid-19 secara dalam talian, dan pihak pengendalian perkhidmatan jualan berkenaan telah mengeluarkan kenyataan bagi menafikan terdapatnya iklan itu.

- Advertisement -

“Namun polis tidak menolak kemungkinan wujudnya iklan-iklan palsu berkenaan penjualan vaksin itu pada masa akan datang,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Zainuddin berkata sebagaimana diumumkan kerajaan, pemberian vaksin Covid-19 dilaksanakan secara percuma kepada rakyat negara ini, justeru sebarang tawaran penjualan vaksin oleh mana-mana pihak merupakan tindakan tidak bertanggungjawab, selain berkemungkinan berunsurkan penipuan.

Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab, yang cuba mengambil kesempatan.

“Orang awam juga dinasihatkan sentiasa peka dengan pengumuman dan arahan-arahan yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa, dalam memastikan maklumat tepat diperolehi berkaitan program vaksinasi ini,” kata Zainuddin.

Beliau berkata polis komited dalam melaksanakan pemantauan berterusan bagi mengesan mahupun membanteras mana-mana pihak, yang cuba mengiklankan penjualan vaksin secara dalam talian. – BERNAMA

- Advertisement -