KEMELUT politik antara Umno dan BERSATU semakin genting dan tidak kelihatan dapat berdamai. Jika perbalahan ini tidak dapat diselesaikan sudah pasti ia bakal menjejaskan agenda besar penyatuan ummah dan lebih malang lagi akan menyaksikan pertandingan 3 penjuru dalam PRU ke-15 nanti yang sudah hampir pasti menguntungkan PH dan DAP.
PAS juga tertekan apabila kedua-dua pihak mendesak agar PAS mengambil sikap dan pendirian memilih antara dua kawan yang berbalah itu. Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man bila diminta mengulas kemelut ini menyebut:
“Insya-Allah kita yakin akan mampu membina muafakat yang baik dan cuba untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang.”
Ternyata PAS masih tidak berputus asa dan istiqamah mahu melihat penyatuan politik umat Melayu Islam menjadi realiti lantas memartabat dan mempertahankan kedudukan agama dan bangsa yang sekali gus menjamin kedaulatan negara.
PAS sedar jalan ke arah perpaduan ini sukar tetapi inilah yang dituntut oleh agama, lalu kita perlu terus berikhtiar dengan matang dan mendoakan yang terbaik. Di pagi Jumaat yang penuh barakah ini bersamalah kita berdoa agar segala kemelut ini akan reda dan penyatuan politik umat Melayu Islam yang ditunggu-tunggu itu akhirnya menjadi realiti.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 5/3/2021