Pemain import: Sabah FC tunggu kebenaran KKM

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Sabah FC masih menunggu kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan empat pemain import mereka dapat beraksi dalam aksi Liga Super yang bermula Sabtu ini (6 Mac).

Pengurus pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir berkata setakat ini tiga pemain import pasukan ‘The Rhinos’ itu dalam proses menjalani kuarantin wajib di negara ini manakala seorang lagi dalam proses untuk masuk ke Malaysia.

Empat pemain import Sabah FC ialah Saddil Ramdani (Indonesia), Sam Johnson (Liberia), Risto Mitrevski (Macedonia) dan Levy Madinda (Gabon), bagaimanapun Marzuki tidak menyatakan pemain mana yang sedang menjalani kuarantin wajib atau dalam proses masuk.

- Advertisement -

Marzuki berkata kelewatan membawa masuk pemain itu disebabkan proses dokumentasi serta peraturan ketat berkaitan Covid-19 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Selain itu proses polisi imigresen yang sangat ketat mengenai kemasukan warga asing ke negara ini selain ketiadaan penerbangan juga antara sebab kelewatan mereka sampai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sabah FC bakal bertemu Melaka United dalam Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka yang dijadual Sabtu ini.

Marzuki berkata setakat ini proses menandatangani kontrak pemain itu sudah diselesaikan awal bulan lepas (Februari) di samping pihak pengurusan Sabah FC telah memulakan proses dokumentasi sejurus selepas kontrak ditandatangani.

“Pengesahan ini diharap semua penyokong tetap bersabar serta sentiasa memberikan sokongan padu kepada Sabah FC bagi memastikan prestasi dan fokus pasukan berada pada tahap maksimum,” katanya lagi.

Pihaknya berharap agar semua empat pemain import Sabah FC itu dapat beraksi dalam perlawanan menentang PJ City FC di Stadium Likas di sini pada 13 Mac depan. – BERNAMA

- Advertisement -