19,000 rakyat Kedah daftar aplikasi iBAYAQ

- Advertisement -

ALOR SETAR: Gerbang pembayaran iBAYAQ dilaksana bermula Jun 2020 membantu memudahkan orang ramai membayar cukai tanah, bayaran perumahan, pinjaman pendidikan dan pendaftaran kontraktor.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, iBAYAQ memudahkan orang ramai membuat bayaran hasil secara atas talian memandangkan pandemik Covid-19 menyebabkan pergerakan orang ramai terbatas.

“Alhamdulillah setakat ini, jumlah pengguna yang berdaftar dengan aplikasi iBAYAQ seramai 19,000 orang.

“Kutipan bagi tahun 2021 sehingga hari ini melalui aplikasi itu berjumlah RM1.9 juta dan bagi tahun 2020 sebanyak RM1.4 juta,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, semalam.

- Advertisement -

Menurutnya aplikasi itu dijangka dapat membantu kerajaan meningkatkan hasil memandangkan sebelum ini urusan pembayaran cukai agak tergendala.

Oleh itu beliau mengajak rakyat Kedah mendaftar iBAYAQ menggunakan kad pengenalan bagi membolehkan membuat bayaran perkhidmatan yang disediakan kerajaan.

“Pengguna juga boleh membuat bayaran melalui iBAYAQ dengan kaedah mengimbas QR kod yang tertera di bil masing-masing.

“iBAYAQ akan diperluaskan penggunaan untuk terimaan hasil termasuk hasil hutan, hasil daerah, cukai pintu serta lain-lain hasil negeri,” ujarnya.

Malah kata beliau kerajaan negeri berhasrat memperluaskan aplikasi tersebut kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada tahun hadapan.

Aplikasi itu berciri ‘Pantas, Selamat dan Mudah’ boleh dimanfaatkan rakyat Kedah. – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -