Kerajaan setuju hapus kira pinjaman bekalan air Perlis

Foto NOOR SARA MASHITOH
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakan hapus kira pinjaman bekalan air luar bandar Negeri Perlis berjumlah RM185.41 juta melalui perjanjian penstukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri itu.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, keputusan tersebut akan mengurangkan pinjaman bekalan air Kerajaan Negeri Perlis daripada RM230.74 juta kepada RM45.33 juta.

Katanya, baki pinjaman tersebut akan diambil alih oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan disusun semula pembayaran balik melalui sewa pajakan yang dikenakan kepada Syarikat Air Perlis (SAP) dalam tempoh 45 tahun.

- Advertisement -

“Inisiatif ini dapat meringankan beban kewangan Kerajaan Negeri Perlis dan tempoh masa pembayaran balik yang panjang pada kadar minimum akan membolehkan SAP membina asas kewangan yang baik ke arah kemapanan jangka masa panjang

“Pelaksanaan skim ini adalah bersifat jangka masa panjang di mana secara beransur-ansur kemapanan kewangan operator air akan dibina bagi mencapai pemulihan kos operasi (OPEX recovery) dan seterusnya mencapai pemulihan kos penuh (full cost recovery).

“Kejayaan ini akhirnya akan melonjakkan industri perkhidmatan air sebagai pemacu ekonomi negara dan memacu pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat negeri Perlis,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersama Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man, selepas selesai menyaksikan majlis menandatangani tiga perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perlis, di sini, hari ini. – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -