Ibu bapa akui anak sukar belajar secara ‘online’

- Advertisement -

PADANG BESAR: Ramai ibu bapa meluahkan rasa lega selepas sesi baharu persekolahan bagi sekolah rendah bermula Isnin lepas.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 1 Mac selepas sekolah lama ditutup akibat penularan pandemik Covid-19.

Seorang suri rumah, Syazwani Abu Bakar, 36, melahir perasaan lega selepas sekolah mulai dibuka bagi pelajar sekolah rendah.

Katanya, pembelajaran secara bersemuka lebih memudahkan pelajar memahami pelajaran yang diajar berbanding secara atas talian sebelum ini.

- Advertisement -

“Walaupun saya seorang surirumah, kadang-kadang tidak sempat juga hendak memantau pelajaran anak-anak,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya juga pihak sekolah tidak perlu lagi bimbang kerana sebahagian besar pelajar memahami prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Kata beliau juga dua anaknya kelihatan seronok dan teruja datang ke sekolah selepas begitu lama ditutup akibat penularan Covid-19.

Seorang pengusaha taska, NorHidayah Isa, 37, turut merasa lega dengan pembukaan sekolah yang bermula kelmarin.

Beliau mempunyai empat anak yang bersekolah turut bimbang kaedah pembelajaran secara atas talian sebelum ini memandangkan banyak perkara yang diajar guru kurang difahami.

“Lega rasanya apabila anak-anak dapat belajar secara bersemuka dengan guru. Mereka lebih mudah faham dan fokus kepada pelajaran,” katanya.

Seorang pegawai tadbir, Norhafiza Mansor, 39, juga meluahkan rasa bimbang pembelajaran secara atas talian kerana pelajar hilang fokus.

Katanya, selepas kerajaan mengumumkan sekolah dibuka secara berperingkat ia banyak melegakan ibu bapa.

“Anak-anak juga akan lebih faham dan fokus dalam pelajaran kerana boleh terus tertanya dengan guru jika tidak faham,” ujarnya.

Pada Isnin lepas murid prasekolah dan tahun 1 serta 2 memulakan sesi pembelajaran. Manakala murid tahun 3, 4, 5 dan 6 akan memulakan sekolah 8 Mac ini.

Pelajar sekolah menengah pula akan bermula 4 April ini. – HARAKAHDAILY 3/3/2021

- Advertisement -