RM164 bilion jumlah pelaburan diluluskan tahun lalu

Biarpun Malaysia turut berdepan pandemik global

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persekitaran ekonomi global pada tahun 2020 adalah sangat mencabar, akibat pandemik COVID-19 dan telah memberi kesan terhadap ekonomi utama di seluruh dunia. Meskipun berhadapan dengan banyak cabaran, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited untuk memastikan Malaysia terus diposisikan sebagai lokasi yang mesra pelabur untuk pertumbuhan jangka panjang bagi perniagaan asing dan domestik.

“Malaysia mencatat sejumlah RM164 bilion pelaburan yang diluluskan melalui 4,599 projek dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama pada tahun 2020. Pelaburan ini diharapkan dapat mewujudkan 114,673 pekerjaan baru dalam pelbagai sektor ekonomi setelah dilaksanakan,” kata YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan dan Menteri MITI.

- Advertisement -

Sebaliknya, sejumlah 5,287 projek dengan pelaburan berjumlah RM211.4 bilion telah diluluskan pada tahun 2019. Penurunan ini disebabkan oleh sektor perkhidmatan dan utama yang secara langsung dipengaruhi oleh penurunan permintaan global akibat pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada tahun 2020, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebahagian besar dari jumlah pelaburan yang diluluskan dengan sumbangan 60.9 peratus (RM99.8 bilion), sementara pelaburan langsung asing (FDI) merangkumi baki RM64.2 bilion (39.1 peratus).

Sektor perkilangan menerajui jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2020 dengan mencatat pelaburan sebanyak RM91.3 bilion, diikuti oleh sektor perkhidmatan RM66.7 bilion dan sektor utama dengan RM6.0 bilion.

Republik Rakyat China (RM18.1 bilion), Singapura (RM10.0 bilion) dan Belanda (RM7.0 bilion) adalah tiga (3) sumber FDI teratas dari keseluruhan sektor ekonomi di Malaysia, menyumbang lebih daripada separuh (54.8 peratus) daripada jumlah FDI yang diluluskan untuk tahun ini.

Selangor (RM38.7 bilion) mencatatkan pelaburan tertinggi yang diluluskan tahun lalu, diikuti oleh Sabah (RM21.0 bilion), Sarawak (RM19.6 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM17.1 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.0 bilion). Lima negeri ini sahaja menyumbang lebih daripada 60 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk tahun 2020.

Sektor perkilangan terus mengungguli

Sektor perkilangan mempunyai kesan pengganda yang paling signifikan terhadap aktiviti dan pertumbuhan negara; ia akan terus menjadi asas ekonomi Malaysia. Ini termasuk menghubungkan kawasan maju dan mundur, pembangunan kluster industri, pemindahan teknologi baru dan pembangunan kemahiran.
 
Sektor perkilangan Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM91.3 bilion untuk tahun 2020, meningkat 10.3 peratus dari tahun 2019. Bilangan projek perkilangan yang diluluskan juga meningkat sebanyak 6.2 peratus dari 988 projek pada tahun 2019 kepada 1,049 projek pada tahun 2020.
 
Apabila dilaksanakan, projek perkilangan yang diluluskan ini akan mewujudkan pekerjaan baru untuk lebih daripada 80,000 orang. Daripada jumlah tersebut, 35.8 peratus adalah jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan (MTS), termasuk jurutera, penyelia penyelenggaraan kilang, pembuat tools and die, juruteknik, kakitangan IT, pengawal kualiti, juruelektrik dan pengimpal.
 
FDI menyumbang 62 peratus (RM56.6 bilion) dari jumlah pelaburan yang diluluskan di sektor perkilangan, sementara pelaburan domestik merangkumi baki 38 peratus (RM34.7 bilion). Penting untuk diperhatikan bahawa di sebalik situasi yang mencabar, DDI melonjak 22.6 peratus sementara FDI meningkat 3.9 peratus berbanding 2019.
 
Republik Rakyat China merupakan pelabur teratas dalam sektor perkilangan di Malaysia, menyumbang RM17.8 bilion daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor ini. Republik Rakyat China juga merupakan sumber pelaburan asing terbesar dalam sektor perkilangan selama lima tahun berturut-turut. Sumber FDI utama yang lain termasuk Singapura (RM8.8 bilion), Belanda (RM6.5 bilion), Amerika Syarikat (RM3.7 bilion), (SAR Hong Kong (RM2.9 bilion), Switzerland (RM2.8 bilion), Thailand (RM1.9 bilion), Jepun (RM1.7 bilion) dan Republik Korea (RM1.4 bilion).
 
Selangor (RM18.4 bilion) adalah penerima pelaburan terbesar dalam sektor perkilangan untuk tahun 2020, diikuti oleh Sarawak (RM15.7 bilion), Pulau Pinang (RM14.1 bilion), Sabah (RM12.0 bilion) dan Johor (RM6.8 bilion). Lima negeri ini menyumbang 73.4 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan di sektor ini tahun lalu.

“Walaupun berdepan dengan cabaran akibat pandemik, pelaburan projek baru yang merangkumi 66.9 peratus dari keseluruhan projek perkilangan yang diluluskan, tetap dapat dijana pada tahun 2020. Ini adalah bukti usaha MITI dan MIDA untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan dasar yang mesra pelabur telah dilaksanakan untuk membolehkan pelabur mempunyai keyakinan untuk mewujudkan operasi baru di negara ini,” kata YB Dato’ Seri Azmin.
 
“Pasukan kami juga telah bekerja keras untuk memastikan projek yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan lancar. Ini dapat dilihat melalui peringkat pelaksanaan yang baik bagi projek yang telah diluluskan. Untuk tempoh 2016-2020, daripada 4,178 projek yang telah diluluskan, 70.0 peratus pelaburan bernilai RM197.2 bilion telah dilaksanakan di negara ini, ” tambahnya.
 
Tambahan pula, sejajar dengan langkah Malaysia menuju industri teknologi canggih, projek berintensifkan modal yang melibatkan teknologi canggih dan tenaga kerja mahir mendominasi landskap perkilangan. Ini ditunjukkan dalam peningkatan nisbah pelaburan modal bagi setiap pekerja (CIPE) kepada RM1,138,055 pada tahun 2020 daripada RM1,052,497 pada tahun 2019. Selain itu, sejumlah 101 projek telah diluluskan dengan pelaburan bernilai RM100 juta ke atas.

Dari segi industri yang menunjukkan prestasi tinggi pada tahun 2020, elektrik dan elektronik (RM15.6 bilion), produk petroleum termasuk petrokimia (RM15.5 bilion), produk logam asas (RM14.4 bilion), kertas, percetakan dan penerbitan (RM7.8 bilion), mesin dan peralatan (RM7.1 bilion), bahan kimia dan produk kimia (RM6.3 bilion), produk getah (RM4.3 bilion) serta teknologi pengangkutan (RM3.9 bilion) telah menyumbang hampir 90 peratus jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan tahun lalu.
 
“Perlu diperhatikan bahawa pelaburan dalam tiga subsektor pemangkin iaitu elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan dan kimia, serta dua bidang pertumbuhan tinggi – aeroangkasa dan alat peranti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) merangkumi lebih daripada satu per ketiga (38.6 peratus) dari jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan dengan pelaburan bernilai RM35.2 bilion pada tahun 2020. Oleh kerana tahun 2020 menandakan berakhirnya Rancangan Malaysia Kesebelas, Kerajaan sedang giat memuktamadkan Rancangan Malaysia Kedua Belas. Rangka tindakan pasca 2020 ini akan memacu langkah ke hadapan untuk agenda pembangunan Malaysia dalam dekad yang akan datang. Kami optimis bahawa ia akan merencanakan langkah untuk meningkatkan lagi strategi daya saing industri Malaysia dalam industri penting dan utama untuk transformasi ekonomi yang mampan bagi meningkatkan sektor perkilangan dan perkhidmatan negara ke tahap maju dan komplek dalam norma baharu pasca COVID-19 dan seterusnya,” kata YB Dato’ Seri Azmin.

Projek utama yang diluluskan tahun lalu terdiri daripada syarikat multinasional dalam industri bertaraf tinggi dan teknologi tinggi yang baru beroperasi di Malaysia. Ini termasuk Dexcom, syarikat AS dan peneraju sistem pemantauan glukosa berterusan yang akan menghasilkan penawaran khusus mereka di Pulau Pinang. Selain itu, syarikat pengukuran elektrik yang berpusat di Switzerland iaitu LEM akan menubuhkan kilang pengeluaran baharunya di Malaysia untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat dalam sektor industri dan automotif. LSChem Industry milik China akan menghasilkan pelbagai bahan oleokimia khusus di Taman Perindustrian Tanjung Langsat, Johor Bahru. Projek LSChem Industry diharapkan dapat menjadi pemangkin untuk melancarkan inisiatif biodiesel di Malaysia, selaras dengan matlamat Kerajaan untuk meningkatkan penggunaan biodiesel. CytoMed Therapeutics (Malaysia) milik Singapura juga akan melabur di negara ini untuk menjalankan penyelidikan dan terapi sel induk.

MNC yang sedia ada juga terus melakukan pelaburan semula yang besar ke atas produk dan aktiviti bertaraf tinggi di Malaysia, ini menggambarkan value proposition yang berterusan Malaysia kepada pelabur Antarabangsa. Nippon Electric Glass (NEG), pengeluar kaca khas Jepun yang terkemuka yang telah beroperasi di Malaysia sejak tahun 1992 berusaha untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tiub kaca untuk kegunaan sektor farmaseutikal memandangkan permintaan tinggi untuk produknya berikutan pelancaran vaksin COVID-19. Selain itu, Bruker yang berpangkalan di AS akan memperluas pelaburannya di Pulau Pinang untuk mengeluarkan instrumen saintifik analitik berteknologi tinggi seperti profilometer optik dan stylus, tribometer, alat difraksi sinar-X, instrumen pendarfluor sinar-X, spektrometer pelepasan optik dan penganalisis gas pembakaran.
 
Pemain tempatan seperti Amerix Metal Machining Technology juga merebut peluang untuk memperluas dan mempelbagaikan operasi mereka tahun lalu serta meningkatkan lagi keupayaan rangkaian industri sokongan Malaysia. Projek pembesaran syarikat menggunapakai konsep perkilangan berketepatan tinggi yang canggih dalam Computer Integrated Manufacturing (CIM) dan model penjejakan proses dalam sistem Enhanced Resource Planning (ERP) yang disesuaikan untuk menghasilkan automation electro- mechanical servo reel untuk reel moulding systems bagi kegunaan bahagian hiliran industri semikonduktor.
 
Pelaburan berterusan untuk sektor perkhidmatan

“Pada tahun 2020, misi Malaysia sebagai pusat perniagaan dan pelaburan untuk sektor perkhidmatan telah menarik sejumlah RM66.7 bilion pelaburan yang diluluskan melalui 3,527 projek yang diluluskan, menyumbang 40.7 peratus dari jumlah pelaburan yang diluluskan dalam ekonomi. Projek perkhidmatan yang diluluskan ini diharapkan dapat mewujudkan 33,652 pekerjaan kepada ekonomi, ” kata YB Menteri Kanan dan Menteri MITI.

DDI mendominasi jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan, menyumbang RM60.2 bilion (90.3 peratus), sementara FDI mewakili RM6.5 bilion selebihnya.
 
Sebilangan besar subsektor perkhidmatan utama menunjukkan penurunan ketara dalam pelaburan yang diluluskan kecuali untuk projek berstatus MSC dan perkhidmatan lain seperti status BioNexus dan pembangunan perisian. Lima (5) penyumbang utama pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan adalah hartanah (RM31.2 bilion), utiliti (RM10.8 bilion), perkhidmatan sokongan (RM5.2 bilion), telekomunikasi (RM5.2 bilion) dan projek berstatus MSC (RM3.9 bilion).
 
Di bawah bidang tugas MIDA, industri perkhidmatan sokongan merangkumi sub-sektor seperti logistik bersepadu, penyelidikan dan pembangunan, teknologi hijau, reka bentuk litar bersepadu, perkhidmatan minyak dan gas dan gudang berlesen.
 
“Pada tahun lepas, projek perkhidmatan utama yang diluluskan adalah Redsol iaitu sebuah projek solar berskala besar baharu antara Malaysia dan Belanda di Perak. Selain itu terdapat pelaburan firma Jepun, Fumakilla Malaysia yang menjalankan R&D dalam mengembangkan produk racun serangga dan produk isi rumah di negara ini sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memusatkan Pusat R&Dnya untuk menyokong aktiviti perkilangan yang dijalankan di Malaysia dan Asia,” tambah YB Dato’ Seri Azmin.

Perlombongan mengungguli di sektor utama

Sektor utama mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM6.0 bilion pada tahun 2020, berbanding dengan RM7.0 bilion pada tahun 2019. Subsektor perlombongan merangkumi sebahagian besar pelaburan di sektor utama, menyumbang 99.5 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini. Selebihnya pelaburan sektor utama terdiri daripada subsektor perladangan dan komoditi, dan subsektor pertanian, yang masing-masing mencatatkan pelaburan sebanyak RM27 juta dan RM2.4 juta.

Bersiap sedia untuk hari mendatang yang lebih baik

Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang kompetitif meskipun berdepan ketidaktentuan semasa, ini dibuktikan dengan kedudukannya dalam landskap ekonomi global. DHL Global Connectedness Index (GCI) 2020 meletakkan Malaysia di tangga kedua (ke-2) di antara negara-negara Asia Pasifik dan keenam belas (16) dari 169 negara untuk hubungan perdagangan. Kajian bersama oleh KPMG dan The Manufacturing Institute di AS yang bertajuk ‘Cost of Manufacturing Operations around the Globe’ juga meletakkan Malaysia di tempat keempat (ke-4) di antara 17 ekonomi dalam penilaian yang membandingkan daya saing ekonomi sebagai pusat pengilangan; meletakkan Malaysia di hadapan negara-negara di Asia seperti China, Jepun, Vietnam dan India. Tambahan pula, Malaysia berada pada kedudukan ke-12 dalam senarai Doing Business 2020 Bank Dunia dan ke-27 dalam Daya Saing Dunia IMD 2020.

“Penarafan kedudukan Malaysia oleh agensi-agensi Antarabangsa yang terkenal ini membuktikan bahawa inisiatif reformasi yang sedang dijalankan berada di landasan yang betul untuk meningkatkan lagi daya saing, produktiviti dan tadbir urus Malaysia yang akan membantu mempromosikan pelaburan dan mempercepat pembangunan ekonomi negara,” kata YB Dato’ Seri Azmin.
 
Namun begitu, pada akhir suku ketiga 2020, negara ini menyaksikan gelombang ketiga jangkitan COVID-19. Ini mendorong kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), untuk mencapai keseimbangan antara memelihara nyawa dan mata pencarian; membendung penyebaran virus sambil membiarkan aktiviti ekonomi dibuka. Kerajaan terpaksa mengenakan sekatan lebih lanjut melalui pengenalan PKP 2.0 akibat lonjakan virus yang tidak dibendung. Pelaksanaan PKP 2.0 dengan jelas telah menimbulkan persoalan adakah Malaysia masih dapat mengekalkan kepantasan dalam pemulihan ekonomi.
 
“Kerajaan, melalui MIDA, terus berada di barisan hadapan untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi dalam bidang teknologi dan inovasi untuk menempatkan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan alternatif di Asia. Pelabur pasti memperoleh nilai dengan memanfaatkan rangkaian industri sokongan tempatan Malaysia yang mapan dan tenaga kerja berbakat untuk menjalankan pengilangan produk berteknologi tinggi dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi untuk memenuhi permintaan pelanggan mereka di rantau ini, pada masa sekarang dan masa depan, ” tambah YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam usaha meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan bagi para pelabur di Malaysia, usaha MIDA telah dipergiat untuk memperkasakan proses perniagaan bagi meningkatkan kecekapan pelbagai fungsi organisasi. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk PACU@MIDA atau Unit Percepatan dan Koordinasi Projek yang menyediakan bantuan dari hujung ke hujung untuk semua projek yang diluluskan bagi memastikan pelaksanaan projek pelaburan dilaksanakan dalam masa yang ditetapkan di negara ini. Selain itu, modul dalam talian, iaitu e-Lesen Perkilangan (e-ML), e-Insentif dan Aplikasi Dalam Talian JPC diwujudkan untuk mempercepat kelulusan yang diperlukan untuk lesen perkilangan, insentif dan pengecualian cukai bagi memudahkan pelaksanaan projek.

Di samping itu, walaupun terdapat penutupan sempadan Antarabangsa yang sedang berjalan dan prosedur operasi standard pemerintah (SOP) yang ketat di seluruh dunia untuk membendung penyebaran virus COVID-19, MIDA terus responsif dalam memberikan nasihat dan sokongan kepada pelabur yang sedia ada dan berpotensi melalui penubuhan 20 pejabat di luar negara dan 12 pejabat wilayah. Pejabat-pejabat ini telah berada di hadapan untuk menarik pelaburan melalui aktiviti promosi pelaburan yang inovatif dan agresif. One-Stop- Centre (OSC) juga telah ditubuhkan di MIDA untuk menilai permohonan pelawat perniagaan yang layak untuk memasuki Malaysia untuk tujuan perniagaan dan pelaburan.

Sehingga Disember 2020, MIDA mempunyai potensi pelaburan bernilai RM65.9 bilion yang sedang dinilai secara aktif. Projek-projek ini, setelah diluluskan dan diharapkan dapat dilaksanakan dalam tahun 2021 hingga 2022. MIDA juga telah mengenal pasti 240 projek pelaburan asing berprofil tinggi, termasuk syarikat Fortune 500 di sektor perkilangan dan perkhidmatan, dengan gabungan nilai pelaburan berpotensi RM81.9 bilion. Ini termasuk rundingan yang sedang berlangsung dengan syarikat dari pelbagai sektor seperti automotif, kimia, dan elektronik canggih untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat perkilangan, perkhidmatan dan rantaian bekalan global bernilai tinggi.
 
“Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang baru dilancarkan oleh Kerajaan juga akan mempercepat kemajuan Malaysia untuk menjadi ekonomi maju dari segi teknologi. Rancangan 10 tahun ini akan meletakkan asas transformasi negara ke arah ekonomi digital yang maju dan membimbing MITI dan MIDA dalam usaha kita untuk terus menarik pelaburan bernilai tinggi pada masa depan,” kata YB Dato ‘Seri Mohamed Azmin Ali.
 
Walaupun tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar dalam banyak hal, Malaysia tetap teguh dalam asasnya sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini. Ketika kita melangkah ke tahun baharu dalam membangunkan semula ekonomi, ditambah dengan pelancaran program vaksinasi nasional, Kerajaan tetap komited untuk mengutamakan keperluan rakyat dan perniagaan.

Mengenai MIDA

MIDA adalah agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyelaras dan menggalakkan pelaburan ke dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat wilayah dan 20 pejabat luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik bagi perniagaan dalam merebut peluang yang timbul dari revolusi teknologi pada era masa kini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.mida.gov.my dan ikuti kami di saluran TwitterInstagram dan Facebook, Linkedin dan Youtube.

Pautan kepada slaid perbentangan: https://tinyurl.com/yetkm68x
Pautan kepada infografik:  https://tinyurl.com/h2vencyh
Pautan kepada senarai projek berkualiti yang diluluskan pada tahun 2020:   https://tinyurl.com/y8yp73k8
Pautan kepada Laporan Prestasi Tahunan 2020: https://tinyurl.com/2pr7bn5z
Pautan kepada Siaran Media: https://tinyurl.com/jb3dbdk9

SUMBER: Malaysian Investment Development Authority (MIDA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Manjit Kaur Balkar Singh (Puan)
Tel: +603-2267 3509
E-mel: [email protected]  BERNAMA

- Advertisement -