Lahir ramai profesional dalam bidang perkayuan

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kerjasama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Program Penempatan Jurutera dan Latihan Prasiswazah Dalam Industri Kayu-Kayan 2021 mampu melahirkan ramai profesional dalam bidang perkayuan di negara ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, usaha MTC memperkenalkan program ini adalah untuk membantu industri perkayuan mendapatkan jurutera dalam kalangan graduan universiti tempatan, selain memberi pendedahan awal kepada mahasiswa mengenai peluang kerjaya dalam sektor tersebut.

“Hakikat pasaran pekerjaan di luar sana ialah majikan dan industri lebih berminat dengan graduan yang mempunyai kelulusan berserta kemahiran.

- Advertisement -

“Maka, MTC tampil untuk bersama-sama membantu ke arah meningkatkan kebolehpasaran siswazah dalam menempuh alam pekerjaan melalui program ini.

“Kita mengajak IPT yang terpilih untuk sama-sama merealisasikan hasrat ini demi untuk
membuka peluang kepada siswazah supaya mereka dapat menyumbang secara langsung kepada kemajuan ekonomi negara sebaik sahaja tamat pengajian,” katanya ketika pelancaran program dan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MTC, persatuan kayu-kayan serta IPT di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Dr. Noraini Ahmad; Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng; Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Muhtar Suhaili dan ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah MTC serta lapan wakil IPT terlibat.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata beliau berbesar hati membuka peluang sebegini
bagi sektor perladangan sawit dan getah serta lain-lain sektor komoditi yang dijamin bagi melahirkan graduan mahir serta memberi pulangan pendapatan yang tinggi pada masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau meletakan harapan agar dengan penglibatan golongan berlatarbelakangkan pengetahuan kejuruteraan ini dapat memacu kemajuan sektor perkayuan sekaligus meningkatkan ekonomi negara dan rakyat.

Selain itu, katanya kerjasama ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masa depan anak bangsa.

“KPPK sentiasa komited untuk menjadikan Malaysia yang tercinta ini sebuah negara yang terus membangun secara mampan, adil dan saksama. Untuk itu usaha yang menyeluruh dan bersepadu seperti ini mampu menawarkan kehidupan yang lebih stabil sekurang-kurangnya untuk mereka yang terlibat dalam sektor perkayuan,” ujarnya.

Tambah Mohd Khairuddin lagi, sudah tiba masa sektor pembuatan berasaskan kayu melalui proses transformasi strategi perniagaan ke arah penggunaan automasi dan pendigitalan bagi mengukuhkan perjalanan operasi untuk jangka masa panjang.

Dengan demikian itu, katanya mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh khususnya buruh asing selain menjana peluang pekerjaan baharu, sekali gus kekal sebagai antara sektor penting yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

“Menjadi iltizam kementerian untuk menggalakkan penglibatan tenaga tempatan di segenap sektor agrikomoditi termasuk sektor perkayuan ini. Keperluan tenaga kerja yang besar di bidang ini sangat wajar diisi oleh rakyat tempatan,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/3/2021

- Advertisement -