Boleh nak pilih vaksin?

- Advertisement -

ADA PIHAK yang bertanya, adakah rakyat mempunyai hak untuk memilih vaksin mana yang mereka nak sama ada Pfizer-BioNTech, Sinovac, Sputnik V, Cansino atau AstraZeneca? Jawapan ringkasnya tidak.

Kita perlu melihat beberapa faktor kenapa ianya tidak boleh ditetapkan rakyat memilih vaksin pilihan mereka buat masa ini. Pemilihan vaksin COVID-19 untuk setiap rakyat bergantung kepada:

(1) Kelulusan dari FDA (Antarabangsa), NPRA dan PBDK (Malaysia). Vaksin yang diluluskan dahulu, maka jenama vaksin itu akan dimasukkan dalam program imunisasi Kebangsaan. 

- Advertisement -

(2) Logistik untuk membawa vaksin tersebut amat menyulitkan petugas, jika terlalu banyak pilihan di sesuatu lokaliti. Setiap vaksin itu perlu dikendalikan mengikut tatacara yang tertentu, penyimpanan dalam peti sejuk pun mungkin berbeza suhunya. Begitu juga dengan kawasan pedalaman, agak merenyahkan untuk menyediakan pelbagai jenis vaksin dalam satu lokaliti yang jauh di pedalaman. Mungkin jenis vaksin yang sesuai hanya 1 dos sahaja.

(3) Pengalaman pemberian vaksin di negara luar pun mereka tidak membuka pilihan kepada rakyat. Pemberian vaksin atas jenama apa sekalipun, ditetapkan oleh kerajaan. Penentuan vaksin jenama mana oleh kerajaan berdasarkan kepada kepada mana-mana jenama yang tersedia ada pada masa tersebut.

(4) Soal harga bukan pertikaian, kerana harga setiap vaksin itu pelbagai. Apa yang penting adalah setiap vaksin itu berkesan, selamat dan stabil digunakan berdasarkan kepada kajian yang telah dikemukakan oleh pihak pengeluar.

(5) Perolehan vaksin untuk hospital atau klinik swasta masih belum dibuka. Buat masa ini, pembelian vaksin sepenuhnya akan dilakukan oleh kerajaan melalui Jawatankuasa akses vaksin peringkat Antarabangsa. Setakat ini seluruh negara dalam dunia pembelian vaksin adalah diuruskan oleh kerajaan bukan pembelian oleh syarikat swasta. 

(6) Sistem pendaftaran melalui MySejahtera dan database yang digunakan buat masa sekarang adalah diuruskan oleh pihak kerajaan. Ianya memerlukan masa dari sudut teknikaliti jika ianya ingin dibuka kepada pihak ketiga dalam menguruskan pemberian vaksin COVID-19 ini.

(7) Jika dibuka kepada pilihan, maka perolehan yang akan dilakukan oleh kerajaan amat sukar kerana penetapan untuk mendapatkan sesuatu vaksin itu bukan ditentukan sepenuhnya oleh kerajaan tetapi ia melalui jawatankuasa akses vaksin Antarabangsa. Persaingan antara syarikat pengeluar juga penting untuk dilihat supaya ianya tidak menjadi sesuatu yang tidak harmoni.

(8) Untuk makluman, perancangan perolehan vaksin yang sedang diatur oleh kerajaan buat masa ini adalah: 

50 peratus Pfizer.
20 peratus Astra Zeneca.
18 peratus Sinovac.
10 peratus CanSino.
10 peratus Gamaleya (Sputnik V).

Kerajaan memberi jaminan bahawa perolehan ini melebihi dari jumlah penduduk negara kita. Oleh yang demikian kerajaan juga bersetuju untuk memberi mana-mana vaksin tersebut kepada warganegara asing yang bekerja dalam negara kita. Ini adalah satu perkembangan yang baik bagi menurunkan lagi kadar jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19. 

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 2/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -